PIC ambil langkah mitigasi elak kemalangan Pakej 2 berulang

PIC ambil langkah mitigasi elak kemalangan Pakej 2 berulang

SEBUAH kren jenis 'crawler' mengalami kerosakan mekanikal hingga menyebabkan sebahagian komponennya jatuh menimpa kawasan parkir kereta di sebuah medan selera di Jalan Paya Terubong, George Town, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Penang Infrastructure Corporation (PIC) menjelaskan, langkah mitigasi dan kerja-kerja pelancaran rasuk telah diperkemaskan serta-merta di tapak projek jalan pintasan dari Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu ke Ayer Itam atau Pakej 2 ketika ini.

Jurucakap PIC berkata, langkah tersebut diambil bagi mengelak berulangnya kejadian kemalangan membabitkan kren jenis ‘crawler’ di tapak ‘casting yard’ di Jalan Paya Terubong di sini, Jumaat lalu.

“Antara langkah yang diambil adalah meningkatkan kekerapan pemeriksaan daripada pemeriksaan bulanan kepada mingguan berpandukan senarai semak jentera kren.

“Selain itu, sebelum sebarang aktiviti pelancaran dijalankan, perimeter bersebelahan yang melibatkan orang ramai akan ditutup daripada sebarang aktiviti,” katanya di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, satu kemalangan telah berlaku membabitkan kren terbabit ketika pihak kontraktor telah dijadualkan untuk membuat pelancaran rasuk bagi baki tiga segmen rasuk di Lebuhraya Thean Teik pada malam tersebut.

Untuk rekod katanya, sehingga kini, sebanyak 35 rasuk telah berjaya dilancarkan bagi struktur jejambat merentasi Lebuhraya Thean Teik sejak awal tahun lepas.

“Proses mengangkat dan memuat naik tiga segmen rasuk ini telah bermula sekitar pukul 8.30 malam di mana dua daripada tiga struktur rasuk tersebut telah berjaya diangkat dan dimuatkan ke atas treler ketika itu.

“Bagaimanapun, ketika proses untuk mengangkat rasuk yang ketiga, salah satu kren berkenaan telah mengalami kegagalan mekanikal hingga menyebabkan komponen hujung ‘boom’ kren tersebut patah dan sebahagian komponen tersebut jatuh ke kawasan parkir kereta medan selera di lot bersebelahan.

KEADAAN salah satu daripada dua buah kereta yang rosak selepas ditimpa sebahagian daripada komponen kren yang jatuh akibat kerosakan mekanikal berhampiran tapak projek Pakej 2 di Jalan Paya Terubong, George Town, Pulau Pinang.

“Kejadian ini telah menyebabkan dua buah kereta yang sedang diparkir mengalami kerosakan kecil. Lanjutan itu juga, pihak subkontraktor telah mengambil tindakan drastik dengan membuat pengepungan penuh kawasan tersebut bagi tujuan keselamatan,” katanya.

Tambah beliau, pihak pemilik kenderaan tersebut juga telah ditemui dan mereka bersetuju untuk dibayar pampasan atas kerosakan yang berlaku.

“Satu pemakluman berkaitan insiden ini juga telah dibuat kepada pihak Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Pulau Pinang (DOSH) pada pukul 10.35 malam (hari kejadian),” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN