PADA 10 Ogos ini, Tan Sri Mohd. Zuki Ali akan menamatkan perkhidmatan sebagai Ketua Setiausaha Negara (KSN) setelah menjawat jawatan itu sejak 31 Disember 2019 dan bersara pada 10 Ogos 2022 sebelum kontraknya disambung semula selama dua tahun.
Kepimpinan Mohd. Zuki banyak dipuji, termasuk oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau disifatkan sebagai tokoh perkhidmatan awam yang menjalankan khidmat dengan penuh kecekapan, profesionalisme dan ketaatsetiaan tanpa mengira masa.
Pengalaman beliau sebagai Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pertahanan, Timbalan Ketua Setiausaha (TKSU) Jabatan Perdana Menteri (JPM), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) kepada Yang di-Pertuan Agong serta jawatan lain di beberapa kementerian dan agensi lain banyak membantu.
Serentak dengan itu, timbul perbincangan hangat dalam kalangan bukan sahaja penjawat awam tetapi juga rakyat mengenai identiti KSN baharu setelah Perdana Menteri mengumumkan persaraan Mohd. Zuki. Situasi ini dianggap biasa kerana KSN adalah jawatan tertinggi dalam perkhidmatan awam yang berperanan penting dalam memastikan kelicinan pentadbiran negara.
KSN memainkan tiga peranan utama, iaitu sebagai Setiausaha kepada Jemaah Menteri, Ketua Perkhidmatan Awam Malaysia dan Ketua Setiausaha kepada JPM. Pejabat KSN pula diwujudkan untuk memainkan peranan dalam memberi perkhidmatan sokongan bagi menjalankan tugas Setiausaha kepada Jemaah Menteri dan Ketua Setiausaha kepada JPM.
Selain itu, Pejabat KSN juga bertanggungjawab memastikan semua ulasan, aduan dan maklum balas yang diterima dari pelanggan diberi perhatian wajar serta mengeluarkan kenyataan dan pengumuman tentang pembaharuan selain perubahan berkaitan perkhidmatan awam.
Disebabkan kepentingan jawatan KSN ini, tatacara lantikannya dinyatakan di bawah Perkara 144 Perlembagaan Persekutuan iaitu ia adalah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas syor Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) setelah menimbangkan nasihat Perdana Menteri dan boleh merujuk syor itu balik satu kali kepada SPA untuk ditimbangkan semula.
Lebih penting lagi, KSN juga memainkan peranan seumpama penghubung antara dua tembok sempadan pentadbiran negara di antara kerajaan selaku penggubal dasar dengan penjawat awam yang melaksanakan dasar negara. Oleh itu, harapan tinggi pastinya diletakkan oleh penjawat awam dan rakyat bahawa KSN yang baharu akan memenuhi jangkaan mereka.
Ada juga kedengaran golongan yang mahukan KSN yang baharu datang dari penjawat awam di negeri tertentu. Bagaimanapun, ini tidak sepatutnya menjadi pertimbangan kerana jawatan KSN bukanlah seperti jawatan Yang di-Pertuan Agong yang perlu kepada penggiliran.
Harapan utama pastilah agar KSN yang baharu akan dipilih daripada individu yang mempunyai pengalaman luas dalam perkhidmatan awam. Pengalaman sebagai KSU dan TKSU Kementerian dan Ketua Pengarah Agensi adalah sangat penting. Ini kerana individu yang pernah memegang jawatan-jawatan ini akan lebih mahir dengan permasalahan yang dihadapi oleh penjawat awam serta mampu untuk menangani isu-isu dengan lebih efektif.
Pemilihan berdasarkan senioriti adalah dianggap paling ideal. Ini kerana KSN dari kalangan individu yang paling senior dalam perkhidmatan awam akan lebih berupaya menjadi jambatan yang paling kuat antara pemegang taruh dan penjawat awam seterusnya memastikan kelancaran tugas serta komunikasi yang efektif antara semua pihak yang terlibat.
Kelebihan besar KSN yang datang dari individu paling senior adalah dalam aspek kelicinan tugas. Pengalaman dan pengetahuan yang mendalam dalam struktur dan proses perkhidmatan awam khususnya di peringkat pusat akan membolehkan beliau mempunyai pemahaman yang menyeluruh tentang keperluan pentadbiran mahupun menjalankan tanggungjawab dengan efisien.
FAHAM, SOKONG AGENDA NASIONAL
Selain itu, KSN juga perlu mempunyai kemampuan untuk memahami, mendukung dan menyampaikan agenda nasional. Ini termasuk mengimbangi hubungan antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan yang penting dalam memastikan kesepaduan dalam pentadbiran.
Oleh itu, tidak menjadi kebiasaan bahawa KSN datang dari perkhidmatan negeri yang terasing dengan suruhanjaya tersendiri yang mungkin tidak membekalkan pengalaman mencukupi dalam urusan pentadbiran kerajaan di peringkat pusat mahupun di negeri-negeri lain.
Harapan seterusnya ialah pengganti Mohd. Zuki akan mampu meneruskan legasi kepimpinan beliau. Ini sudah semestinya termasuk kemampuan untuk turun ke bawah atau naik ke atas dan berinteraksi dengan semua peringkat penjawat awam, pemegang taruh juga rakyat.
Keupayaan untuk KSN yang baharu diterima oleh semua pihak ini akan memastikan wujudnya kesinambungan yang padu dalam pelaksanaan dasar dan inisiatif kerajaan, serta memupuk semangat kerjasama yang erat dalam semua peringkat perkhidmatan awam.
Menjadi harapan semua pihak agar KSN yang baharu akan terus memperkukuhkan perkhidmatan awam dan memajukan negara.
Pemilihan KSN yang berwibawa dan berpengalaman adalah kunci kepada kejayaan dan kestabilan pentadbiran negara.-UTUSAN
DR. Mazlan Che Soh ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Seremban.










