SAUDARA PENGARANG,
FITNAH adalah tuduhan atau khabar angin yang tidak berasas dan sering kali bertujuan untuk merosakkan reputasi seseorang. Fenomena ini semakin menjadi-jadi dengan ledakan kemajuan teknologi dan kehadiran media sosial, ia menjadi lebih mudah tersebar dan bahaya daripada sebelumnya.
Media sosial menjadikan kesahihan maklumat bukan lagi keutamaan, apa yang penting seberapa cepat sesuatu itu boleh dikongsi. Akibatnya, individu yang menjadi sasaran fitnah terpaksa menghadapi kesan negatif yang berat, seperti kerosakan reputasi, tekanan emosi, bahkan kerosakan dalam hubungan peribadi serta profesional mereka.
Masalah ini bertambah buruk apabila orang ramai tidak mengambil inisiatif untuk memeriksa kesahihan maklumat sebelum berkongsi. Keengganan untuk menyaring maklumat dan bergantung pada sumber yang tidak boleh dipercayai menjadikan fitnah semakin sukar dikawal. Fitnah sering kali mendapat perhatian kerana mengandungi unsur sensasi dan drama, yang menarik minat pembaca dan menyebabkan mereka lebih cenderung untuk berkongsi tanpa usul periksa. Inilah yang menyebabkan fitnah lebih cepat tersebar daripada maklumat benar dan sahih.
Selain itu, sistem undang-undang yang rumit dan memerlukan bukti yang kukuh menjadikan tindakan terhadap penyebar fitnah agak sukar dan memerlukan masa yang lama. Dalam kebanyakan kes, mangsa fitnah mungkin tidak mempunyai sumber atau sokongan yang mencukupi untuk menuntut keadilan. Ini menyebabkan ramai yang terpaksa menerima kesan negatif fitnah tanpa pembelaan yang sewajarnya.
Apabila seseorang diserang dengan fitnah, kesannya bukan sahaja dirasai oleh individu tersebut tetapi juga oleh keluarganya dari segi psikologi dan sosial. Tekanan emosi dan stigma sosial menyebabkan ketegangan dalam hubungan kekeluargaan dan juga komuniti. Kesan-kesan ini boleh menyebabkan implikasi jangka panjang terhadap kesejahteraan mental dan fizikal mangsa serta keluarga.
Bagi menangani masalah ini, kesedaran dan pendidikan mengenai bahaya fitnah dan tanggungjawab pengguna media sosial perlu dipertingkatkan. Masyarakat harus dididik tentang pentingnya memeriksa kesahihan maklumat sebelum berkongsi dan bertindak secara bertanggungjawab dalam talian.
Selain itu, pihak berkuasa perlu memperkukuh peraturan dan undang-undang yang berkaitan dengan penyebaran fitnah dalam talian untuk memastikan tindakan yang tegas diambil terhadap pelanggar.-UTUSAN
CHE RAHMAH AHMAD
Parit Sulong, Johor










