PETALING JAYA: Sebanyak 270 institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara) sedia membantu kira-kira 300,000 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang tidak layak mendapat tempat dalam program matrikulasi dan program Asasi Universiti.
Pengerusinya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, terdapat 1,345 institusi pendidikan dan latihan yang menyediakan lebih 4,000 bidang TVET di bawah 12 kementerian yang diselaraskan oleh Majlis TVET Negara.
Menurutnya, di bawah Mara sahaja terdapat 270 institusi TVET.
“Melalui Dasar TVET Negara yang dilancarkan Jun lalu, syarat minimum bekerja hari ini bukan lagi SPM, tetapi sijil-sijil kemahiran seperti SKM (Sijil Kemahiran Malaysia) juga diiktiraf.
“270 institusi pendidikan TVET Mara sediakan pelbagai program TVET dari peringkat sijil, sijil profesional, sijil industri, diploma, diploma perindustrian sampailah ke peringkat ijazah.
“Ini termasuk institusi seperti GiatMARA, Institut Kemahiran MARA, Kolej Kemahiran Tinggi MARA sehinggalah ke peringkat Universiti Kuala Lumpur (UniKL),” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Jelas beliau, Mara juga kini memberi peluang graduan dan pelatih TVET untuk menyambung pengajian dan latihan sehingga ke luar negara. – UTUSAN









