GAZA: Sekurang-kurangnya 30 maut selepas Israel menyerang dua sekolah di Semenanjung Gaza, Palestin apabila pihak tentera rejim mendakwa kemudahan itu dijadikan lokasi gerakan Hamas.
Menurut Pertahanan Awam Gaza, 80 peratus mangsa adalah kanak-kanak dalam serangan itu yang membabitkan dua pusat pendidikan iaitu Sekolah Salama dan Al-Nasr, terletak di tengah Gaza.
Lapor wakil Al-Jazeera, kebanyakan bangunan itu yang digunakan sebagai tempat perlindungan untuk pelarian di Gaza adalah sekolah, kerana ia adalah satu-satunya ruang besar yang boleh menempatkan sejumlah besar orang.
Berikutan serangan itu pada hari Ahad, Nebal Farsakh dari Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) memberitahu Al Jazeera bahawa serangan itu ‘sekali lagi bukti bahawa tiada tempat selamat di Gaza’.
“Kedua-dua sekolah ini menempatkan orang awam yang kehilangan tempat tinggal yang telah dipaksa keluar beberapa kali, dan kini mereka terpaksa melarikan diri pada masa yang lain selepas serangan ini,” katanya.-AGENSI










