TEHERAN: Iran telah melancarkan siasatan menyeluruh ke atas pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas dan bekas Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniyeh dengan menahan puluhan individu yang berkemungkinan mempunyai kaitan dengan kejadian tersebut.
Lapor New York Times (NYT), penanahan membabitkan pegawai perisikan kanan, pegawai tentera, dan pekerja kakitangan di rumah tamu yang dikendalikan tentera di Tehran di mana Haniyeh dibunuh.
Kata media tersebut, Unit Perisikan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) telah mengambil alih siasatan.
Pembunuhan itu memberi tamparan hebat kepada sistem keselamatan Iran apabila mendedahkan kelemahan teruk dan mudah dibolosi perisikan asing ke republik berkenaan sejurus selepas serangan mengejut itu.
Menurut media Al Arabiya, penganalisis keselamatan menambah bahawa pembunuhan itu adalah mesej kepada Iran dan sekutunya serta kumpulan proksi bahawa mereka tidak terlepas jangkauan Israel bahkan boleh berlaku di Tehran.
Walaupun Israel tidak mengaku bertanggungjawab atas pembunuhan Ismail manakala pegawai AS memberitahu bahawa mereka tidak terlibat, namun tentera Israel dipercayai di belakang pembunuhan itu.
Malah beberapa laporan termasuk dari Hamas dan media Iran, menyatakan Ismail terbunuh oleh serangan peluru berpandu.
Terdapat laporan lain menyebut bahawa bom yang diseludup ke dalam yang menyebabkan kematiannya. – AGENSI










