625,000 anak Gaza tercicir peluang pendidikan - Utusan Malaysia

625,000 anak Gaza tercicir peluang pendidikan

KANAK-KANAK Palestin beratur untuk mendapatkan bantuan makanan di Sekolah Abu Zeitun di Kem Jabalia di utara Gaza, baru-baru ini. Mereka kini berdepan risiko maut akibat kekurangan makanan berkhasiat. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DOHA: Masa depan remaja dan kanak-kanak Gaza gelap kerana keciciran peluang pendidikan setelah dilaporkan 625,000 pelajar tidak dapat meneruskan pembelajaran sejak konflik pe­perangan antara Palestin dan Israel.

Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan pertubuhan Save The Children mendedahkan sehingga 30 Julai lalu, kesemua pelajar tersebut yang berada di Semenanjung Gaza dilaporkan kehilangan setahun tempoh pembelajaran.

Dalam kalangan pelajar ter­sebut, ia melibatkan 39,000 pelajar yang terlepas tahap pendidikan Tawjihi atau Gred ke-12 peperiksaan awam.

“Ini bermakna tiada seorang pun daripada mereka boleh beralih ke pendidikan tinggi dan majoriti daripada mereka mungkin tidak akan kembali ke sekolah lagi,” kata kedua-dua pertubuhan itu seperti dilaporkan Al-Jazeera.

Laporan itu menyebut tentera Israel telah membunuh sekurang-kurangnya 9,211 pelajar dan 397 kakitangan pendidikan.

“Mereka telah mencederakan lebih 14,237 pelajar dan 2,246 guru di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober tahun lalu,” kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, tentera Israel menyerang sebuah sekolah di Shejaia di Bandar Gaza pada Khamis, membunuh sekurang-kurangnya 15 orang dan men­cederakan 29, kata perkhidmatan kecemasan awam Palestin.

Tentera Israel berkata ia me­nyasarkan pejuang Hamas beroperasi di kawasan dalam sekolah yang didakwa digunakan sebagai tempat persembunyian.

“Banyak langkah diambil untuk mengurangkan risiko mencederakan orang awam, termasuk penggunaan peluru yang tepat, pengawasan dan risikan tambahan,” dakwa mereka dalam kenyataan.

Namun Hamas menafikan menggunakan kemudahan awam seperti hospital dan sekolah untuk tujuan ketenteraan.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×