Disolek gelap untuk watak Zaleha - Utusan Malaysia

Disolek gelap untuk watak Zaleha

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIDAK keterlaluan saya sifatkan Sofia Jane, sebagai pelakon versatil kerana keberaniannya mencuba pelbagai watak. 

Itu terbukti menerusi kepelbagaian karakter yang dilakonkan pelakon berusia 50 tahun ini sepanjang lebih tiga dekad pembabitannya dalam dunia drama dan perfileman. 

Permulaan Sofia sebagai pelakon tidak mudah seperti kebanyakan pelakon hari ini. Kecantikan yang dimiliki tidak menjanjikan peranan utama di awal pembabitan. Sofia di garis awal, bermula sebagai pelakon ekstra. 

“Kalau mahu diceritakan, pengalaman lakonan pertama saya adalah sebagai pelakon ekstra. “Peluang itu datang ketika sebuah syarikat produksi melakukan penggambaran di sekolah di Petaling Jaya. 

“Ketika itu adalah penggambaran beberapa babak dilakukan. Pihak produksi pula memerlukan pelakon ekstra dan saya terpilih menjadi antaranya. 

“Itu adalah pengalaman pertama, permulaan kepada lebih tiga dekad pembabitan saya dalam dunia lakonan,” jelasnya. 

Pembabitan Sofia mula semakin dihidu penerbit selepas kemunculannya dalam filemnya yang pertama iaitu Mira Edora. Bagai bulan jatuh ke riba, peluang berlakon filem tersebut datang tidak disangka-sangka. 

“Ketika remaja, saya sering ditawarkan menjadi pelakon ekstra untuk syarikat produksi yang dimiliki oleh seniwati Allahyarham, Mariani. Tambahan pula waktu itu saya memang rapat dengan arwah dan anaknya, Melissa Saila. 

“Allahyarham pernah bertanyakan kepada saya, mahukah saya berlakon filem. Katanya, pengarah Zulkifli M. Osman bakal memulakan penggambaran Mira Edora dan memerlukan seorang lagi pelakon untuk watak rakan kepada Mira. 

“Saya akhirnya dipilih untuk mengisi kekosongan itu. Saya teruja kerana berpeluang bekerjasama dengan nama-nama besar waktu itu seperti Julia Rais dan Azhar Sulaiman. 

“Lebih menyeronokkan apabila penggambaran filem itu turut dilakukan di rumah Mak Nani (Mariani),” ceritanya.

EKSPLOITASI

BUKAN perkara asing dalam dunia perfileman bagi seorang pelakon wanita diekploitasikan kecantikan mereka untuk menjadi tarikan filem berkenaan. 

Sofia tidak menafikan pernah melalui pengalaman sedemikian ketika awal pembabitannya dulu. 

“Ketika itu saya berdarah muda. Tiada siapa yang paksa saya ketika itu. Jadi, berpakaian seksi dalam filem adalah atas kerelaan untuk menurut arahan. 

“Babak-babak perempuan berpakaian seksi ibarat trend yang sering dimunculkan dalam naskhah yang diterbitkan sekitar tahun 80-an atau 90-an. Ibaratnya ia melariskan filem. 

“Tapi bila saksikan semula babak-babak (berpakaian seksi) yang pernah saya lakonkan, mungkin saya berharap tidak melakukannya waktu itu,” kongsinya.

ISTERI PEREMPUAN DAN…

FILEM ini antara yang berjaya melonjakkan nama Sofia dalam dunia lakonan. Sebuah filem kontroversi arahan U-Wei Haji Saari yang dikritik ramai. 

Sofia memaklumkan hampir tidak terpilih membintangi filem itu garagara rupa parasnya yang disifatkan tidak kemelayuan. 

“Saya masih ingat pencarian pelakon filem itu diiklankan di akhbar Utusan Malaysia. Saya tertarik dan pergi ke uji bakat ditemani ibu saya ketika itu. 

“Terlalu ramai yang datang uji bakat ketika itu, termasuklah pelakon yang sudah ada nama. Firasat saya mengatakan saya tak dapat watak itu disebabkan rupa paras saya tidak kelihatan Melayu tulen. 

“Jangkaan saya benar. Saya tidak dipilih atas faktor itu. Membuatkan saya pulang dengan rasa kecewa dan amarah yang mendalam,” kongsinya. 

Kata Sofia, dia enggan melepaskan peluang depan mata. Katanya, dia mendesak agar diberi peluang kedua. 

“Saya marah ketika itu dan mempersoalkan kalau saya bukan Melayu, jadi saya ini apa? Memang ikutkan saya tak sesuai bawa watak Zaleha. 

“Tapi waktu saya muda, rasa tercabar dan memberontak. Bila dikatakan saya tidak diterima, saya menolak. Saya katakan pada U-Wei saya wajar diberi peluang kedua. 

“Selepas melalui proses pemilihan semula, saya diterima untuk watak Zaleha. Disebabkan kulit terlalu putih, saya terpaksa disolek agar kelihatan sedikit gelap untuk watak berkenaan,” katanya.

TIADA BAKAT NYANYIAN

SOFIA tahu kebolehannya dan kemampuannya. Dan jelas dia tahu dia tidak berbakat dalam nyanyian. Meskipun ada pihak yang mencadangkan dia cuba menjadi penyanyi, pelakon ini menolak. 

“Masa muda, kita mahu buat semuanya. Tapi saya tahu saya tidak pandai menyanyi. Tak ada bakat itu. 

“Ada artis memang dikurniakan bakat serba boleh. Contoh Imuda yang boleh menyanyi, melawak, berlakon dan melukis. 

“Tapi saya, Sofia Jane tahu saya tak boleh menyanyi. Pernah sebelum ini saya dan beberapa pelakon lain ditawarkan menyanyi untuk album hari raya yang diterbitkan sekitar tahun 90- an. Yang pasti, waktu itu Faizal Hussein dan beberapa pelakon lain, boleh menyanyi. Saya pula, gagal,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×