Ketuk-ketuk

Ketuk-ketuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Hujan sepertiga malam telah sidang. Dingin mengilukan hingga ke tulang-temulang. Kendati pun begitu semangat untuk menghasilkan video karipap oksigen tidak luntur sama sekali. Impian paling utama. Misi lagi penting mengatasi segala. Terima kasih peniaga bazar Ramadan yang mempopularkan kuih itu.

Sebulan lepas Yaya memuat naik foto karipap rangup inti sejemput kegilaannya di media sosial. Molek kejadian hasil berguru dengan ibu tersayang, begitulah ayat pemikat di pembukaan status.

Disogokkan juga petua anti gagal yang dipraktik tetapi sengaja dirahsiakan perincian dengan harapan dapat memukat tanda suka. Di penutup status dia berseloroh, tempahan amat dialu-alukan. Sekali berderet orang menempah. Mulai saat itu dia nekad menjadi pelopor dan dinamakan Karipap Sejemput.

Begitulah norma sekarang, harus bijak memanipulasi mata dan fikiran warganet. Pengisian mesti bertunjangkan isu tular, panas dan sensasi. Kalau terlalu pembaris, terhoyong-hayanglah status.

Terutama usahawan muda baru bertatih sepertinya. Ini semua tentang peluang dan wang.

Suatu ketika Yaya fikir dirinya manusia pelik kerana lebih menggemari kulit karipap berbanding inti. Amat mengejutkan apabila ramai yang memelikkan sama sepertinya. Terkini, ada yang bertanyakan tart inti kosong. Kebetulan dia tidak menggemari jem maka satu selera. Memikirkan tangan cuma dua, Yaya belum bersedia menambah barang niaga. Takut terbakar oven.

Tunggulah musim perayaan. Boleh diupah seorang pembantu. Berangan-angan itu percuma.

Ini baru betul kepala tauke. Untung-untung nama Yaya sebaris dengan Khairul Aming. Karipap Sejemput setanding Sambal Nyet. Mendabik dada penuh bangga ibu nanti. Tidaklah orang tua itu

bising kerana dunia pekerjaannya, dialah bos dialah kuli. Menyimpang jalan rezeki daripada adik-beradik lain yang makan gaji.
Tok! Tok! Tok!

Ada ketukan di luar sana. Ritmanya membangkitkan derauan di dalam dada. Bulu roma ikut sekali, mencacak naik tanpa dipaksa. Pandangan segera terarah ke muka pintu. Berita yang mendominasi media massa dan alam maya menerjang fikiran serta-merta.

Meminjam sumber bualan orang lama, kalau dengar jauh bermakna dekat. Kalau dengar dekat itu pula petanda jauh. Persoalannya sekarang, entahkan jauh entahkan dekat kerana ini pengalaman pertama.

Mengikut cerita orang yang pernah kena kacau, ketukan-ketukan akan disusuli bauan wangi atau busuk. Lantas hidung terus kembang kempis menghidu tetapi yang lolos di rongga hanyalah aroma karipap sekuali.

“Noramalia!”

Sergahan ibu yang keluar dari bilik air mendorong sudip di tangan terpelanting mencium dinding. Berdenting bunyinya sebaik terhempas ke lantai. Mujurlah ketika itu ketukan-ketukan tidak lagi kedengaran. Jika masih berpanjangan boleh semput nafas.

“Ini bukan lagi karipap oksigen. Ini dah jadi karipap karbon. Berapa kali pesan, waktu menyediakan kuih jualan atau tempahan orang jangan sibuk merakam, buat siaran langsung Facebook,

TikTok, apa-apalah yang berkaitan. Semua benda hendak ditunjuk.”

Bertih kata Mak Jan kepanasan, meletup-letup di bibir. Tangan pula berkeliar mencari sudip lain untuk mengangkat karipap yang coklat kehitaman. Jangan kata ke tangan pelanggan, ke mulut tukang yang membuatnya pun tidak lepas. Ini bermakna untung lari. Bukan lagi rangup, rongak poket bagai. Sudahlah harga barang keperluan niaga menggila belaka.

Di tengah dapur, Yaya tidak memfokus kepada omel-omel sang ibu. Tipikal bagi semua ibu di dunia ini apabila menceceh yang pedas-pedas, lambat benar menurunkan nokhtah.

“Mambang ketuk pintu dah datang ke kampung kita!”

Yaya memintas dan meninggikan sedikit suara untuk menjelaskan yang sebenar-benarnya. Takkan hendak tunggu sampai giliran rumah sendiri. Berpandukan kejadian lepas-lepas, ketukan selalunya berangkai.

Omelan Mak Jan mengendur. Gerak tangan turut mati.

“Pintu kita kena ketuk? Bila?”

“Pintu orang lain. Masa mak mandi tadi. Rasanya dekat-dekat sini juga.”

“Ini peluang baik. Kita kena buat jualan tambahan. Kalau betul mambang ketuk pintu ramailah wartawan, youtuber, influencer dan geng paranormal datang ke sini. Gerenti banyak duit masuk nanti.”

Yaya ternganga. Reaksi ibunya memesong jauh daripada apa yang dibayangkan. Boleh pula orang tua itu memikirkan keuntungan berlipat ganda berbanding rasa cuak mahupun bimbang.

Tok! Tok! Tok!

Ketukan bertalu-talu di muka pintu dapur mengejutkan kedua beranak itu. Ah! Sudah, rumah mereka pula kena terjah!

“Jan, apa yang hangit? Sampai ke bilik aku baunya. Baru hendak sembahyang subuh langsung tak jadi.”

Yaya berpaling ke arah kuali yang sedang hangus. Asap memenuhi ruang dapur. Tergocoh-gocoh Mak Jan memadam api. Baki dua karipap yang belum diangkat kehitaman di dalam kuali.

Tingkap cepat-cepat dibuka untuk melepaskan asap yang terkepung.

Mek Siti jiran sebelah tiba-tiba menjengul di jendela lengkap bertelekung putih. Mak Jan dan Yaya berteriak berduet. Di luar rumah, si ratu latah terperanjat. Latahnya pun menjadi-jadi. Habis semua perkataan bukan-bukan keluar.

Bahana ketukan misteri, Kampung Layang-Layang kegawatan. Keadaan dikusutkan lagi dengan dakwaan anak Yasmin yang turut mendengar ketukan sama menjelang subuh semalam. Budak lelaki berusia 12 tahun itu memberitahu, bunyi berhampiran dengan rumah. Anehnya tiada jiran terdekat yang mengaku mendapat ketukan sehari dua ini.

Darurat kampung diisytiharkan. Aktiviti malam seperti pencak silat, latihan kompang dan kelas mengaji semuanya batal. Warga kampung diarahkan supaya berada di rumah selepas waktu Isyak.

Tuk Empat Jali selaku ketua yang prihatin akan keselamatan anak buah mengemukakan cadangan supaya diadakan bacaan Yasin menerusi Google Meet.

Angkara ketukan misteri itu juga Grup Zumba Layang-layang hilang minat untuk bersenam. Di bawah pohon mangga rumah Mak Jan, ahli grup seramai 25 orang duduk berhimpun sambil layan kisah seram lucu yang terjadi di rumah pemilik Pondok Kuih Norjannah beserta videonya sekali.

Jenuh ketawa mengekek, Cikgu Musliha memutuskan untuk mengajar mereka yang masih buta Google Meet menjadi celik. Mujurlah menguasai aplikasi penting sewaktu pandemik Covid-19 itu tidak sesusah mana. Tangan ligat mempelajari langkah demi langkah, mulut laju membawang daripada satu hal ke hal lain. Perempuan, begitulah.

“Tak syak lagi, mesti ada orang hendak menguji ilmu salah.” Serkap jarang si Safiah. Miah di sebelah sependapat. Kedua-duanya saudara bau bacang. Rumah hanya dipisahkan oleh halaman tepi sekangkang kera.

Kalau diikutkan situasi semasa, silaturrahim mereka seperti Korea Selatan dan Korea Utara. Gara-gara batu sempadan yang menjadi batu api, membibitkan sengketa berlarutan.

Rentetan kehadiran entiti yang suka mengetuk pintu, mereka berdamai. Berjauhan daripada anak-anak, malam ini tidur di rumah papan Safiah, malam esok rumah batu Miah. Ada kebaikan mengharung senario ribut-ribut sebegini. Merapatkan yang renggang, menenangkan yang tegang.

“Ramai juga yang kata apa berlaku sekarang sebenarnya saka terbuang mahu mencari tuan. Jangan buka kalau pintu kena ketuk. Automatik kita jadi tuannya.”

Mek Siti menyuburkan lagi tunas-tunas ketakutan. Sedang mereka asyik membawang, Yaya terpekik-pekik kekalutan.
“Ada bunyi ketuk lagi!”

Malangnya, mereka tidak mendengar apa-apa lantaran terus menjerit secara berjemaah. Hanya pada ‘tok’ yang terakhir barulah keadaan kecoh sedikit reda dan masing-masing bertikam pandang dengan wajah pucat.

Skuter Tuk Empat Jali muncul, berdesup laju menghampiri mereka. Turut datang mengiringi di belakang, Imam Hanafi.

“Kamu semua, ada dengar bunyi ketuk?” Tuk Empat Jali menyoal. Sampukan entiti di sebalik ketukan misteri kembali menguasai apabila dengan hanya sebutan ‘ketuk’ mereka menjerit kepanikan lagi. Tatkala Cikgu Musliha melaung diam dengan lantang, hening mengambil alih panorama petang. Dia yang mendengar beberapa ‘tok’ terawal, tangan menunjuk ke belakang rumah Mak Jan.

“Memang sah!” Imam Hanafi bersuara keras, meninggalkan tanda tanya.

“Ya, sahlah Surau Haji Ayi.” Tuk Empat Jali turut mengiakan lalu skuter tunggangannya memecut pergi.
“Ayuh, mari ikut sekali kalau nak tahu siapa pengetuknya!” Tanpa mengambil peduli berapa ramai yang mahu serta, motosikal Imam Hanafi mengekor rapat skuter milik Tuk Empat Jali.

“Lekas, kita lawan mambang ketuk pintu!” Yaya meskipun takut tetapi enggan berterusan tertanya-tanya, meniup api keberanian. Sudahnya semua mencapai kata sepakat untuk pergi. Mek Siti yang membonceng motosikal Miah, mulutnya menghamburkan riuh kala kaki memijak lalang-lalang setinggi setengah meter.

“Mana mambang ketuk pintu? Cepat tangkap dan usir dari kampung kita.”

Perempuan pelatah yang sedang berkobar-kobar semangatnya terpaksa ditenangkan Mak Jan. Suasana di sekitar surau lama bersilih sunyi. Di atas tangga, Razak duduk menunduk dengan wajah sugul. Di tangan tergenggam sepuntung kayu. Sebuah kentung-kentung yang sekian lama terperap di dalam surau tergantung di hujung serambi. Tuk Empat Jali mendekati lelaki setengah abad yang hilang separuh kewarasan akibat putus tunang 25 tahun lalu.

Masakan tidak. Majlis perkahwinan berbaki dua minggu, tunang lari berpaling tadah dan nikah sindiket dengan suami orang di Siam. Melalui tilikan pawang pula, ketidakwarasan Razak sebenarnya berpunca daripada buatan orang secara tidak sengaja. Hendak dituju kepada orang lain tetapi tidak pasal-pasal mengenai dia.

“Kenapa ketuk? Benda ini bukan boleh dibuat main sesuka hati.” Tuk Empat Jali menagih jawapan.

“Mak aku dah pergi.” Esakan Razak tidak dapat dibendung lagi.

“Kalau macam gitu, jangan-jangan…” Ayat Imam Hanafi tergantung.

Tuk Empat Jali dan Imam Hanafi berlarian ke rumah Nek Jara. Sebaik kain batik lepas yang menyelimuti sekujur tubuh diselak, mereka melihat raut wajah bersih dan tenang seolah-olah sedang tidur. Tiada tanda-tanda menunjukkan wanita tua yang sekian lama uzur itu sudah dua hari meninggal dunia seperti dibimbangi.

Kentung-kentung kembali dipalu menjelang Maghrib dan setibanya Isyak selepas hampir suku abad sepi.
Imam Hanafi mengambil tanggungjawab sebagai tukang palu. Golongan muda dan anak kecil teruja mengamati ketukan-ketukan seruan menghadap-Nya yang pernah berkumandang di era nenek moyang mereka.

Yaya dan anak lelaki Yasmin mengakui bunyi yang didengari adalah sama. Cuma tempo paluan tidak teratur dan sumbang. Menimbang faktor kesihatan Razak, kesalahan bukan di bahunya.

“Mak suruh ketuk. Nanti bila Tuhan ambil dia, aku tak tinggal seorang. Tapi tiada yang datang solat di surau bapak. Siapalah yang mahu jenguk kami.”

Tiada hati yang tidak tersentuh kala mendengar luahan Razak. Sepatutnya dia diangkat sebagai imam menggantikan arwah Haji Ayi tetapi tragedi putus tunang membenam semua.

Usai Isyak, jenazah Nek Jara disolatkan di Surau Haji Ayi sebelum disemadikan. Malam Jumaat kemuliaan penghulu hari, surau lama disimbahi nur dan kembali ke fungsi hakiki. setidak-tidaknya untuk malam itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×