PASIR MAS: Malaysia akan terus menyokong usaha damai antara Kerajaan Thailand dengan penduduk di wilayah selatan negara itu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara tersebut merupakan isu domestik Thailand dan tidak melibatkan Malaysia.
“Namun, disebabkan hubungan baik Malaysia dengan Thailand, mereka minta kita (Malaysia) bersama mendukung usaha itu.
“Perkara itu telah kita berikan komitmen dari semua sudut sama ada ekonomi, sosial, pendidikan dan sebagainya, ” katanya selepas makan tengah hari bersama Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin di Kompleks Apam Putra, di sini hari ini.
Anwar berkata, Malaysia akan memainkan peranan sebagai fasilitator dalam memakin usaha damai itu.
Katanya, Malaysia menyerahkan perkara itu kepada Thailand dan masyarakat Islam di wilayah negara itu untuk berunding.
Media pada 19 Januari lalu melaporkan, selepas hampir setahun tergendala, Proses Dialog Damai di Selatan Thailand akan disambung semula bulan depan sekali gus , menyemarakkan harapan untuk menamatkan konflik di selatan Thailand yang berlanjutan sejak berpuluh tahun.
Rundingan damai itu terhenti selepas Barisan Revolusi Nasional (BRN), iaitu kumpulan bersenjata paling berpengaruh di selatan Thailand mengumumkan penangguhan rundingan sementara menunggu Pilihan Raya Umum 14 Mei dan pembentukan kerajaan baharu tahun lepas.
Menerusi temu bual dengan PBS Thai di Bangkok baru-baru ini, Ketua Fasilitator Kerajaan Malaysia bagi Proses Dialog Damai di wilayah itu Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin menyuarakan harapan agar rundingan damai pusingan seterusnya yang dijadual pada Februari di Kuala Lumpur akan menentukan agenda dan objektif proses damai terbabit.- UTUSAN










