PETALING JAYA: Tindakan Meta Platforms Inc (Meta) memadam hantaran Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan kematian pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh disifatkan sebagai perbuatan yang tidak sensitif terhadap isu antarabangsa.
Timbalan Dekan Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Dr. Zubaile Abdullah berkata, memadamkan hantaran ucapan takziah dan kritikan terhadap pembunuhan Ismail Haniyeh adalah satu tindakan yang sangat biadab dan tidak menghormati pemimpin Malaysia.
Katanya, sebagai sebuah platform media sosial global, Meta sepatutnya lebih sensitif terhadap pandangan pemimpin negara-negara lain terutama apabila melibatkan isu-isu kritikal seperti Palestin yang telah lama menjadi perhatian masyarakat antarabangsa.
“Memadamkan suara pemimpin seperti Perdana Menteri boleh dianggap sebagai tindakan yang tidak menghormati kedaulatan sesebuah negara dan mengabaikan hak untuk bersuara dalam arena global.
“Justeru, kerajaan perlu mengadakan dialog langsung dengan pihak pengurusan Meta untuk mendapatkan penjelasan dan permohonan maaf berhubung tindakan pemadaman hantaran tersebut serta mengembalikan hantaran yang dipadam selain memberi jaminan bahawa pandangan pemimpin akan dihormati pada masa hadapan.
“Selain itu, kerajaan juga mesti bekerjasama dengan negara-negara lain dan organisasi antarabangsa untuk menekan Meta agar lebih bertanggungjawab dan menghormati suara pemimpin dunia dalam menyuarakan isu-isu kritikal,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Zubaile berkata, sekiranya hantaran yang ditafsirkan sebagai mengkritik oleh Meta, maka orang ramai perlu beralih kepada platform yang mesra terhadap isu kemanusiaan.
“Rakyat atau pemimpin perlu menggunakan platform lain yang lebih mesra terhadap kebebasan bersuara terutama isu kemanusiaan.
“Menggalakkan pembangunan platform tempatan yang mematuhi undang-undang hak asasi manusia dan kebebasan bersuara,” katanya. – UTUSAN










