Bagi membantu bakal graduan yang ingin melanjutkan pelajaran, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menganjurkan forum Inspirasi Usahawan Alumni.
Ia adalah sebuah program bual bicara yang melibatkan bekas pelajar kedua-dua buah institusi pengajian tersebut secara dalam talian.
Program perkongsian maklumat itu merupakan salah satu inisiatif kedua-dua universiti berkenaan menguruskan hal berkaitan alumni bagi membantu bakal graduan mendapatkan petua dan nasihat berguna berkaitan bidang kepakaran oleh panel jemputan.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, inisiatif diambil kedua-dua universiti itu adalah langkah tepat dalam menyahut cabaran pengajian norma baharu ketika era pandemik Covid-19.

“Sebagai sebuah pusat pengajian pendidikan terulung, UPSI sentiasa cakna dengan keperluan semasa pendidikan negara dengan penganjuran program-program berkaitan untuk melahirkan mahasiswa berkualiti memenuhi aspirasi negara.
“Inisiatif yang diambil oleh pusat tanggungjawab UPSI dan USIM ini merupakan suatu nilai tambah yang amat tepat demi menyokong hasrat negara dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 bagi melahirkan graduan yang holistik, berciri keusahawanan dan seimbang,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain berkongsi kepakaran dan pengalaman selok-belok bidang perniagaan dan ilmu keusahawanan kepada graduan, kedua-dua panel jemputan turut menawarkan program perintis kepada graduan yang berkelayakan untuk menyertai syarikat mereka.
Sementara itu, Pengarah Pusat Alumni dan Kerjaya USIM, Mohd. Asri Hussain berpendapat, program berkenaan dapat meningkatkan perkembangan alumni dan pelajar.
Ia turut menjadikan universiti sebagai platform untuk membentuk dan membina graduan berketrampilan, selaras dengan cabaran era Revolusi Perindustrian keempat.
“Hari ini graduan perlu bersiap-siaga menghadapi lanskap baru ekonomi global dengan meneroka bidang keusahawanan sebagai pilihan kerjaya utama dan tidak hanya bergantung kepada pekerjaan semata-mata,” ujarnya.
Program berkenaan turut mendapat sokongan pentadbiran alumni universiti-universiti awam Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Teknikal Melaka (UTEM), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza).









