PETALING JAYA: Pengeluar kereta nasional, Proton menjual 15,103 unit pada bulan Julai (domestik dan eksport), mencatatkan permulaan yang kukuh bagi separuh kedua tahun ini dan mengukuhkan kedudukannya di tempat kedua dalam carta jualan automotif.
Menurut kenyataannya, volum jualan meningkat sebanyak 37.3 peratus berbanding bulan sebelumnya, apabila penutupan kilang yang dirancang untuk aktiviti penambahbaikan operasi yang dijadualkan memberi kesan kepada angka pengeluaran.
Katanya, sebagai hasilnya, ia telah menyebabkan angka pengeluaran penutup tertinggi sejak September 2022.
“Jumlah jualan tahun sehingga kini (YTD) adalah sebanyak 88,799 unit. Jumlah volum industri (TIV) untuk bulan tersebut dianggarkan sebanyak 73,761 unit, meningkat 27.1 peratus berbanding bulan sebelumnya, manakala bahagian pasaran Proton pada Julai telah meningkat kepada 20.5 peratus.
“Jualan meningkat merentasi rangkaian model apabila Proton Saga mencapai jualan terbaiknya dalam tempoh lebih sedekad.
“Pertumbuhan jualan Proton pada Julai diterajui oleh Proton Saga, kereta kegemaran Malaysia yang terus menarik ribuan pembeli dalam tahun ke-39 pengeluaran berterusannya,” katanya dalam kenyataan.
Proton berkata, sebanyak 7,855 unit terjual pada Julai, yang merupakan pencapaian terbaik untuk model tersebut sejak Oktober 2013.
“Ini membawa jumlah jualan YTD untuk Saga kepada 42,693 unit, yang merupakan 8.8 peratus lebih tinggi daripada jualan pada tahun 2023 dan menetapkannya untuk tahun jualan yang cemerlang,” ujarnya.
Tambahnya, sebulan selepas kembali ke puncak kelas kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen B, X50 mencatatkan jualan terbaiknya dengan 2,585 unit terjual pada Julai, menjadikan jumlah jualan YTD kepada 12,789 unit.
Menurutnya, Persona juga mencatatkan jualan terbaiknya untuk tahun 2024 dengan 1,911 unit terjual, menjadikan jumlah jualan YTD sebanyak 11,664 unit, manakala S70, segmen C terkemuka kelasnya, menjual 1,636 unit pada bulan sama dengan YTD sebanyak 12,550 unit.
“Untuk model-model Proton yang lain, X70 menjual 302 unit pada Julai ketika stok dikurangkan sebagai persediaan untuk pelancaran X70 2025. Sementara itu, Iriz mencapai 537 unit jualan, manakala X90 SUV segmen D mencatatkan 277 unit,” jelasnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, Julai telah menjadi bulan jualan terbaik untuk Proton pada 2024 setakat ini, menetapkan arah bagi separuh kedua tahun 2024 yang produktif.
“Proton sedang merangka banyak rancangan yang akan dilaksanakan dalam bulan-bulan akan datang, dimulakan dengan pelancaran X70 2025 pada bulan Ogos.
“Pada masa yang sama, kerja asas untuk pelancaran model kenderaan elektrik (EV) pertama Proton juga sedang dijalankan dengan pantas sebagai persediaan untuk pelancaran EV pertama Malaysia,” katanya.-UTUSAN










