TEHERAN: Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei mengarahkan serangan terhadap Israel, beberapa jam selepas pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh dibunuh dalam serangan udara awal kelmarin, lapor akhbar New York Post.
Khamenei mengeluarkan arahan itu semasa mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Agung Kebangsaan, sejurus pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas tersebut.
Iran dan Hamas menyalahkan Israel berhubung serangan udara terhadap Haniyeh, walaupun ia tidak mengaku atau menafikan terlibat dalam pembunuhan tersebut.
Menurut laporan New York Post yang memetik sumber pegawai Iran, tindakan yang akan dilakukan oleh Teheran masih belum jelas, namun komander tenteranya mempertimbangkan serangan dron dan peluru berpandu menyasarkan kemudahan tentera berhampiran Tel Aviv dan Haifa.
Selain itu, Khamenei mengarahkan komander Pengawal Revolusi Iran dan tenteranya untuk menyediakan serangan dan rancangan pertahanan sekiranya konflik di Asia Barat semakin meluas.
Terdahulu, Khamenei berikrar untuk membalas dendam atas kematian Haniyeh, yang disifatkan sudah lama menyimpan hasrat untuk mati syahid dalam perjuangan membebaskan Palestin daripada cengkaman Israel.
“Penjenayah dan pengganas rejim Zionis telah menyebabkan tetamu kami mati syahid di negara kami. Ini adalah sesuatu yang menyedihkan.
“Kami berikrar akan membalas dendam atas kematian beliau,” katanya dalam satu kenyataan di laman X, pada Rabu.









