UNSC gesa usaha diplomatik elak konflik Asia Barat

UNSC gesa usaha diplomatik elak konflik Asia Barat

NEGARA anggota UNSC mengadakan sidang tergempar mengenai situasi konflik di Asia Barat susulan pembunuhan Ismail Haniyeh, semalam.- AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Negara anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) menggesa usaha diplomatik dipertingkatkan untuk mengelak konflik meluas di Asia Barat.

Ini susulan pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh, di Teheran, Iran, semalam kurang 24 jam selepas komander kanan Hezbollah, Fuad Shukr, maut dalam satu serangan di penempatan Haret Hreik, selatan Beirut.

Wakil Jepun ke UNSC, Shino Mitsuko menggesa usaha antarabangsa untuk mencegah konflik itu kerana wilayah Asia Barat kini berada di ambang perang.

Wakil China, Fu Cong pula berkata, kegagalan mencapai gencatan senjata di Gaza boleh memburukkan lagi ketegangan.

“Negara-negara yang mempunyai pengaruh besar mesti memberikan lebih banyak tekanan dan bekerja lebih giat untuk memadamkan api peperangan di Gaza,” katanya pada satu sidang tergempar di sini, semalam.

Wakil Britain, Barbara Woodward berkata, laluan ke arah keamanan mesti dibuat melalui rundingan diplomatik kerana keamanan jangka panjang tidak akan terjamin dengan bom dan peluru.

Amerika Syarikat (AS) menerusi wakilnya, Robert Wood menyeru anggota UNSC yang boleh mempengaruhi Iran supaya melaksanakan tanggungjawab di rantau tersebut bagi mengelak perang besar terjadi.

Wakil Iran ke majlis itu, Amir Saeid Iravani pula berkata, Teheran secara konsisten melaksanakan sekatan maksimum tetapi berhak untuk bertindak balas dengan tegas.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×