TANGGAL 6 Mei merupakan detik meninggalkan kesan buat peminat KRU apabila Norman, Edry dan Yusry mengumumkan pembubaran kumpulan itu tujuh tahun lalu.
Keputusan itu dibuat ketiga-tiga pasangan adik beradik itu selepas lebih 25 tahun bergiat aktif dalam dunia seni tanah air.
Meskipun terang lagi bersuluh keputusan yang diambil, peminat sehingga ke hari ini tetap menaruh harapan agar KRU kembali bersatu dalam sebuah persembahan atau projek istimewa.
Soalan itu diajukan kepada Edry yang sempat saya temubual baru-baru ini. Ringkas jawapan Edry. Ujarnya, never say never.
Katanya, sekiranya KRU memutuskan untuk kembali, ia harus dilakukan atas kemahuan mereka sendiri dan untuk peminat yang merindukan.
“Baru-baru ini saya berkesempatan menonton konsert New Boyz. Saya melihat sekarang ini bagai satu kebiasaan bagi setiap artis lama membuat kemunculan semula menerusi konsert. Mungkin trend ini semakin jelas selepas pandemik.
“Apa pun, kalau ditanya mengenai sama ada KRU mahu muncul semula dengan konsert, ia berbalik kepada persetujuan kami adik beradik.
“Perlu difahamkan bahawa bukan mudah bekerja dengan adik beradik. Selama 25 tahun kami lalui pahit manis bersama. Jadi untuk saja-saja kembali semula dengan sebuah konsert mungkin bukan tujuannya.
“Saya tak boleh nafikan, jangkaan peminat mengatasi segalanya. Sebenarnya sokongan dan kasih saya mereka bagi kami semangat untuk hadiahkan mereka sesuatu. Oleh itu, never saya never,” jelasnya.
Edry ditemui selepas konsert akhir The Hardest Singing Show baru-baru ini. Katanya lagi, meskipun KRU sudah dibubarkan, tidak mustahil untuk kumpulan itu bersatu semula demi mengubat rindu peminat.
Namun tegas Edry tiada apa yang diputuskan setakat malah apa-apa projek menyatukan mereka semula masih setakat ini dibincangkan.
“Kalau saya nak buat (konsert), biarlah demi peminat. Bukan sekadar muncul semula, lepas itu orang bandingkan KRU dulu dan sekarang.
“Saya tak nafikan memang ada pihak yang menawarkan kami habuan lumayan kalau kami bersetuju untuk kembali mengadakan konsert. Tapi wang ringgit bukan dorongan utama.
“Kami tidak mahu rosakkan legasi KRU dengan satu persembahan yang asal buat. Kalau kami nak lakukan, biarlah ia menjadi komitmen sepenuh masa, bukan separuh masa atau separuh hati,” katanya lagi.
KEBEBASAN DI LUAR NEGARA
Disoal tentang penghijrahan, Edry bersyukur kerana keputusan untuk berpindah ke United Kingdom (UK) menemukan dia dengan kebebasan dan peluang hidup sederhana.
“Saya temukan kehidupan normal bila berada di UK. Kalau di Malaysia, orang kenal saya sebagai Edry KRU, dapat perhatian di sana sini.
“Tapi kalau di UK, saya temukan kebebasan. Kalau mahu pergi minum kopi di luar pun tak ada siapa kenal saya. Itulah nikmat yang saya peroleh di sana, jadi orang biasa.
“Tapi sekarang, saya nikmati keduanya. Kalau saya rindukan Malaysia, mahu jumpa peminat, bila-bila masa saya boleh pulang.
“Tapi kalau saya mahukan kehidupan bebas dan biasa, saya pulang semula ke UK,” jelasnya.











