Haniyeh dibunuh dalam serangan terancang

Haniyeh dibunuh dalam serangan terancang

ISMAIL Haniyeh dan Recep Tayyip Erdogan menunjukkan simbol kesatuan semasa pertemuan di bangunan Parlimen di Ankara, 3 Januari 2012.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Kira-kira pukul 2 pagi waktu tempatan di utara Teheran, Iran, ‘peluru berpandu bawaan udara’ mengenai tepat sasaran di sebuah rumah veteran tentera yang menempatkan Ismail Haniyeh.

Sosok pejuang Hamas berusia 62 tahun itu meninggal dunia dalam sebuah serangan terancang.

Bagaimanapun, Iran tidak memberikan butiran mengenai bagaimana Haniyeh dibunuh dan menyatakan serangan berkenaan sedang disiasat.

Seorang pemimpin kanan Hamas, Sami Abu Zuhri, menyifatkan pembunuhan itu hanya mengundang episod ketegangan yang serius.

“Pembunuhan oleh pendudukan Israel terhadap Saudara Haniyeh adalah peningkatan keganasan yang serius bertujuan untuk mematahkan semangat Hamas.

“Kemenangan tetap di pihak kami,” kata pegawai kepada Reuters.

Setakat ini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab melancarkan pembunuhan itu.

Namun, ia jelas disyaki dilakukan oleh tentera Israel, yang berikrar untuk membunuh Haniyeh dan pemimpin Hamas yang lain berhubung serangan kumpulan itu pada 7 Oktober lalu.

Televisyen negara Iran melaporkan kematiannya pada awal Rabu, dan penganalisis sudah mula menyalahkan Israel atas serangan itu.

Sehingga kini, Israel kekal berdiam diri. Malah, Tel Aviv mengeluarkan arahan kepada Pejabat Perdana Menteri dan semua menterinya tidak mengeluarkan sebarang komen.

Menteri Warisan Berhaluan Kanan, Amichai Eliyahu dengan bangganya meraikan kematian Hamas di platform media sosial.

Tindakan Israel itu dilihat agak pelik kerana kebiasaannya berita pembunuhan yang dilakukan oleh agensi perisikan Mossad akan diumumkan segera.

PEJUANG PALING BERANI

Penduduk Islam seluruh dunia diselubung kesedihan mendalam apabila pejuang paling berani tidak lagi mengetuai rundingan gencatan senjata.

Bagaimanapun, berita duka itu tidak sesekali akan meruntuhkan semangat setiap pejuang Hamas yang masih berusaha keras mempertahankan tanah Palestin di Gaza.

Haniyeh dilahirkan pada 1962 di kem pelarian Shati, Semenanjung Gaza.

Beliau adalah ahli politik Palestin dan pemimpin Utama Hamas yang berkhidmat sebagai Perdana Menteri mewakili Pihak Berkuasa Palestin (PA) pada 2006 hingga 2007.

Haniyeh ialah pejuang Islam yang dibuang negeri dan banyak menghabiskan masa selama beberapa tahun di Qatar.

Tiga daripada anak lelaki Haniyeh iaitu Hazem, Amir dan Mohammad terbunuh 10 April lalu, apabila serangan udara Israel mengenai kereta dinaiki mereka, kata Hamas.

Haniyeh turut kehilangan empat cucunya, tiga perempuan dan seorang lelaki, dalam serangan tersebut.

Haniyeh menafikan dakwaan Israel anak lelakinya adalah pejuang untuk kumpulan itu, dan berkata, ‘kepentingan rakyat Palestin didahulukan’, apabila ditanya sama ada pembunuhan mereka akan memberi kesan kepada rundingan gencatan senjata.

Semasa muda, Haniyeh adalah seorang aktivis pelajar di Universiti Islam di Gaza. Beliau menyertai Hamas apabila ia diwujudkan ketika intifada pertama pada 1987. Beliau pernah ditangkap dan seketika, pernah diusir.

Haniyeh menjadi anak didik pengasas Hamas, Sheikh Ahmad Yassin, yang seperti keluarga Haniyeh, adalah pelarian dari kampung Al Jura berhampiran Ashkelon.

Menjelang 2003, beliau adalah pembantu Yassin yang dipercayai, bergambar di rumah Yassin di Gaza sambil memegang telefon ke telinga pengasas Hamas yang hampir lumpuh supaya lelaki itu boleh mengambil bahagian dalam perbualan.

Sheikh Ahmad Yassin dibunuh oleh Israel pada 2004.

Haniyeh adalah penyokong awal Hamas ketika pergerakan itu memasuki arena politik.

Pada 1994, beliau berkata, membentuk parti politik “akan membolehkan Hamas menangani perkembangan yang baru muncul.

Pada mulanya, usaha ditolak oleh pimpinan Hamas, kemudiannya diluluskan dan Haniyeh menjadi perdana menteri Palestin selepas kumpulan itu menang pilihan raya parlimen pada 2006, setahun selepas Israel berundur dari Gaza.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×