Pustakawan tetap ‘kompas’ walau pada era kecerdasan buatan

Pustakawan tetap ‘kompas’ walau pada era kecerdasan buatan

PUSTAKAWAN berperanan dalam memudah serta menawarkan bantuan, panduan, bimbingan peribadi, khidmat rundingan dan perbincangan secara langsung dalam lautan pencarian maklumat. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBAGAI salah satu profesion yang menyediakan perkhidmatan pencarian maklumat penting kepada pelanggan, bidang kepustakawanan mungkin dipengaruhi oleh kecerdasan buatan (AI) dalam pelbagai cara.

Dek senario dan berita yang berleluasa hari ini, majoriti masyarakat kian sedar akan keupayaan AI.

Sudah pasti tidak ada yang mampu menyanggah kemampuan teknologi dan mengakui bahawa teknologi ini boleh membantu meningkatkan mutu perkhidmatan dan kemudahan perpustakaan dengan ketara.

Memuatkan artikel berkaitan…

Namun, jangan kita nafikan perpustakaan mesti mempunyai nadinya, iaitu para pustakawan.

Apalah erti sebuah perpustakaan tanpa tuannya dan sedarkah kita apa sifat unik seorang pustakawan jika dibandingkan dengan AI yang cuba di manusiawi oleh segelintir pihak ketika ini.

Terang lagi bersuluh, AI hanyalah teknologi atau alatan yang dicipta untuk membantu memudahkan urusan seharian mahupun dari segi pembelajaran, pekerjaan dan sebagainya.

Seperti hujah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak, dalam ruangan UIAM Berhujah, pada 20 Jun lalu, mengapa terus bertuhankan AI walhal ia hanyalah teknologi yang berkebolehan luar biasa jika dibandingkan dengan fitrah semula jadi manusia kurniaan Ilahi meliputi akal, budi, hati dan sanubari.

Sayangnya, dengan adanya AI pada zaman kini, kita bukan sahaja semakin yakin dengan cetakan maya bahkan kurang menggunakan sumber perpustakaan secara maksimum.

Kita lebih gemar untuk mencedok semua maklumat yang dikeluarkan AI tanpa mengambil kira kesahihan dan ketulenan bahan tersebut.

Atribut paling utama adalah interaksi sesama manusia. Pustakawan menawarkan bantuan, panduan, bimbingan peribadi, khidmat rundingan dan perbincangan secara langsung dalam lautan pencarian maklumat.

Sebagai contoh, perkhidmatan Meja Penasihat Pembaca menyediakan konsultasi dan jawapan secara terus kepada setiap pertanyaan secara percuma.

Perkhidmatan ini membolehkan pelanggan daripada pelbagai latar belakang mendapatkan jawapan berdasarkan keperluan mereka.

Selain dapat memastikan pelanggan berpuas hati dalam meneroka dunia maklumat, tidak seperti AI, pustakawan dapat membantu pengguna mencari bahan bacaan yang sesuai dengan minat serta keperluan mereka, memahami dan mendalami soalan-soalan yang rumit, melibatkan diri dalam perbualan yang bermakna selain menyesuaikan nasihat mengikut konteks berbeza setiap individu.

Misalnya, pelanggan yang mempunyai masalah untuk mendapatkan bahan kajian semestinya akan merujuk kepada pustakawan atau pakar maklumat untuk bertanya dengan lebih lanjut sekali gus mempelajari kaedah pencarian maklumat yang betul.

Sentuhan peribadi ini mampu mewujudkan persekitaran yang sejahtera dan dapat menggalakkan pelanggan untuk meneroka sumber perpustakaan dengan sepenuhnya.

Namun, apa yang berlaku pada hari ini ialah rata-rata daripada pengguna lebih mudah untuk menekan butang enter pada mana-mana AI misalnya ChatGPT dalam mencari maklumat yang belum tentu tepat dan sahih sedangkan pustakawan mempunyai pengetahuan yang mendalam dalam literasi maklumat, yang menjadikan mereka navigator atau pemandu arah penting dalam dunia maklumat.

Pustakawan tidak hanya menyediakan maklumat tetapi mereka memastikan maklumat itu tepat, sahih dan relevan.

Mereka terlatih untuk mengenal pasti sumber yang benar dan boleh dipercayai untuk mendidik para pengguna cara mengakses, menilai dan menggunakan maklumat dengan bijak.

Dengan kemahiran ini, pustakawan membantu mengelakkan penyebaran maklumat palsu dan kesilapan dalam penggunaan maklumat.

Jika dibandingkan dengan AI, maklumat yang diberikan kepada pengguna mungkin terhad meliputi tempoh masa atau skop liputan yang tidak menyeluruh dan ketinggalan zaman.

Tambahan, AI sangat sinonim akan kebergantungan data sedia ada dan algoritma. AI dilatih menggunakan set data yang besar yang mengandungi pelbagai jenis maklumat, yang kemudiannya diproses oleh algoritma untuk mengenali corak dan membuat ramalan atau keputusan.

ETIKA
Tidak dilupakan, pustakawan sangat menitikberatkan etika kepustakawanan.

Mereka mematuhi prinsip-prinsip etika seperti privasi dan kebebasan intelektual dengan serius, memastikan bahawa hak-hak pengguna dihormati dan maklumat disediakan adalah secara adil.

Dengan menegakkan prinsip-prinsip ini, pustakawan memastikan perpustakaan berfungsi sebagai ruang yang selamat, dengan individu dapat mengakses maklumat dan menyuarakan pandangan mereka tanpa rasa takut.

Selain itu, mereka juga memastikan bahawa koleksi perpustakaan mencerminkan pelbagai pandangan dan perspektif serta melindungi maklumat peribadi pengguna dengan penuh tanggungjawab.

Misalnya, koleksi tesis dan disertasi tidak sewenang-wenangnya diberi akses kepada pengguna demi menjaga isu hak cipta dan plagiat. Koleksi ini mengandungi karya asli yang dilindungi hak cipta dan pengaksesan secara bebas kepada dokumen ini boleh menimbulkan risiko pelanggaran hak cipta dan isu plagiat.

Dalam beberapa kes, pustakawan akan memastikan bahawa penggunaan tesis atau disertasi hanya dilakukan dengan keizinan daripada pengarang atau institusi akademik yang berkenaan.

Sebaliknya, AI mungkin tidak adil atau wujud kebimbangan etika dalam pemprosesan data dan pembuatan keputusan. Oleh kerana ia buatan manusia, AI sangat bergantung kepada data yang dimasukkan dan algoritma yang digunakan dalam prosesnya.

Sebagai contoh, data yang tidak seimbang boleh menyebabkan ketidakadilan terhadap sesuatu aspek seperti jantina, etnik atau sosial oleh kerana teknologi ini dilatih menggunakan set data.

Dalam dunia yang semakin didominasi AI, peranan pustakawan sebagai penyaring dan kompas maklumat tetap relevan dan sangat diperlukan.

Mereka memastikan bahawa walaupun teknologi terus berkembang, sentuhan manusia dalam pengurusan maklumat tidak hilang dan pengguna mendapat manfaat daripada maklumat yang berkualiti selain boleh dipercayai.

Justeru, kita mestilah bijak dalam memanfaatkan AI dalam kehidupan, jangan sampai dimanipulasi.

Sia-sia bertunjangkan AI walhal kita mempunyai akal dan fikiran yang jauh lebih cerdas dan dinamik.-UTUSAN

 

PENULIS ialah Pustakawan di Perpustakaan Dar al-Hikmah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×