PETALING JAYA: Kebarangkalian untuk mangsa terus hidup ekoran bencana di Nepal sangat bergantung kepada ‘golden hours’ (masa keemasan) sehingga mencecah 72 jam, terutama bagi mangsa yang terperangkap atau cedera parah.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, bagaimanapun tempoh tersebut tidak boleh dianggap sebagai satu angka atau had masa yang mutlak.
Ini kerana sebarang operasi menyelamat bergantung kepada situasi, jenis kecemasan, keadaan mangsa serta persekitaran ketika insiden berlaku.
“Untuk bercakap tentang kaedah dan konsep menyelamat tertentu pada masa sekarang, ia tertakluk kepada situasi dan merupakan perkara subjektif.
“Namun dalam konteks operasi menyelamat, tempoh ‘golden hours’ merupakan waktu paling kritikal kerana peluang mangsa untuk terus hidup bergantung kepada tindakan pantas pasukan penyelamat,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia mencadangkan supaya satu mekanisme rasmi diwujudkan bagi membantu 55 rakyat negara ini yang masih belum ditemui susulan bencana di Nepal bulan lalu, sekiranya usaha pencarian gagal memberikan kepastian mengenai nasib mereka.
Anwar dilaporkan berkata, cadangan itu dibangkitkan ketika panggilan telefon beliau dengan Perdana Menteri Nepal, Balendra Shah.
Nor Hisham berkata, Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) JBPM sememangnya mempunyai keupayaan dan secara asas semua anggota bomba dilatih untuk melaksanakan penyelamatan asas termasuk di ruang sempit.
“Bagi keadaan yang lebih teknikal, STORM dilatih secara khusus termasuk penggunaan peralatan khas bagi kerja menyelamat di kawasan bencana,” katanya.
– UTUSAN











