KUALA TERENGGANU: Ganjaran lumayan menanti atlet Terengganu jika kontinjen negeri itu bergelar juara keseluruhan Sukan Malaysia (Sukma) 2024 di Sarawak pada 17 sehingga 24 Ogos ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pemenang pingat emas, perak dan gangsa akan menerima imbuhan lebih tinggi berbanding kebiasaan sebelum ini.
Walaupun belum mahu mengumumkan jumlahnya, Ahmad Samsuri berkata, beliau memberi jaminan ganjaran tetap disediakan kepada atlet-atlet Terengganu yang menyinar di Sarawak nanti.
“Lazimnya saya akan terus umumkan berapa (insentif) kepada atlet yang menang pingat emas, perak dan gangsa cuma hari ini sedikit berbeza. Ganjarannya ada tetapi saya belum mahu beritahu jumlahnya.
“Saya akan turun sendiri ke Sarawak untuk melihat kesungguhan atlet Terengganu bertanding dan jika jadi juara keseluruhan, insya-Allah ganjaran lebih baik daripada edisi terdahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Sukma Negeri Terengganu kepada ketua kontinjen, Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Rasak di sini, hari ini.
Untun rekod, kontinjen Terengganu yang muncul naib juara keseluruhan pada edisi 2022 dengan pungutan 64 pingat emas, 49 perak dan 55 gangsa menerima imbuhan RM1.5 juta.
Pemenangan pingat emas di Kuala Lumpur dua tahun lalu itu memenangi RM3,500 manakala RM2,500 kepada pemenang pingat perak dan RM1,500 untuk pemenang pingat gangsa.
Sementara itu, Ahmad Samsuri berkata, kontinjen Sarawak dan Johor dianggap pencabar utama dalam misi Terengganu merampas kembali status kuasa besar Sukma.
Seramai 568 orang atlet Terengganu akan bertanding dalam 340 daripada 488 acara yang dipertandingkan dengan sasaran diletakkan 76 pingat emas, 36 perak dan 106 gangsa. – UTUSAN










