PETALING JAYA: Kehilangan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh dapat membangkitkan semangat perjuangan generasi penerus agar keadilan dan kebebasan dapat dicapai oleh seluruh rakyat Palestin.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pemergian pemimpin pejuang Palestin itu disifatkan satu kehilangan besar buat umat Islam khususnya rakyat Palestin yang menuntut pembebasan daripada genggaman Zionis Israel.
Beliau berkata, tiada kata dapat menggambarkan kesedihan di hatinya apabila menerima perkhabaran perginya seorang sahabat, pemimpin dan pejuang itu bersama pengawal peribadinya yang gugur syahid dalam serangan di Tehran, Iran.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) mengenang kenangan bersama Ismail yang sentiasa berkongsi kisah suka duka perjuangan membebaskan Palestin.
“Sosok tubuh inilah yang banyak memberikan nasihat dan semangat untuk saya terus membantu dan menyumbang di saat kalah ataupun menang.
“Kehilangan besar buat dunia Islam, namun semangat beliau berjuang tidak akan pudar dan kehilangan ini pastinya membangkitkan gelora perjuangan generasi penerus agar keadilan dan kebebasan dapat dicapai oleh rakyat Palestin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ismail dilaporkan terbunuh dalam serangan yang dilakukan terhadap kediamannya di Tehran.
Beliau berada di Tehran bagi menghadiri majlis angkat sumpah Presiden baharu Iran, Masoud Pezeshkian pada Selasa lalu.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid mendoakan agar Allah menempatkan mereka dalam kalangan para syuhada yang beroleh jannah tanpa hisab.
“Berehatlah sahabat. Hilangkanlah lelah dan penat. Kehilanganmu pasti menjadi pembakar semangat. Gugurmu melahirkan jutaan mujahid umat. Sehingga tercapai matlamat. Palestin bebas, merdeka dan berdaulat,” katanya. –UTUSAN











