Bau hamis sampah dan serakan dedaun kering yang dibasahi embun pagi sudah menjadi haruman biasa buatku. Pada setiap pukul 5.30 pagi, aku sudah berada di zon yang ditetapkan bagi melaksanakan rutin harianku sebagai seorang tukang sapu sampah.
Ketika sebahagian besar penghuni kota masih dibaluti selimut tebal, tanganku sudah memegang penyapu lidi bertangkai panjang serta penyodok plastik.
Meskipun sudah berusia lebih 50 tahun, aku masih tetap bersemangat dan tidak pernah malu dengan kerjaya yang kupilih itu.
Aku juga tidak mahu hidup dengan meminta-minta. Lantaran itu, aku bersyukur kerana tetap diberikan pekerjaan dan rezeki yang halal meskipun ada segelintir masyarakat memandang rendah terhadap pekerjaan yang aku pilih itu.
Kini, walau apapun aku tetap mencintai kerjayaku itu dan telah bergelumang dalam bidang pembersihan lebih kurang 10 tahun lamanya.
Berbekalkan sarung tangan getah yang kusam dan ves keselamatan berwarna jingga pemantul cahaya, aku meredah kesejukan pagi dengan perasaan gembira. Gembira kerana masih mempunyai pekerjaan tetap dan ceria kerana inilah salah satu amalan kebaikan yang dapat aku berikan kepada masyarakat tanpa sebarang balasan yang kuharapkan.
Setiap hayunan penyapu di atas permukaan jalan tar yang kasar itu akan menghasilkan bunyi srek, srek, srek seolah-olah mengalunkan lagu kehidupan di celah-celah lorong bandar yang tidak pernah tidur.
Aku sudah terbiasa dengan cabaran dan kesulitan tatkala menjalankan tugas harianku. Tiada istilah penat atau loya. Semuanya dilaksanakan dengan penuh amanah dan dedikasi.
Bunyi azan subuh dari corong pembesar suara yang datangnya dari arah surau berdekatan kedengaran jelas di gegendang telingaku. Aku berjalan menuju ke arah surau sambil menjinjing penyapu serta penyodok plastik.
Tugasan di dunia itu adalah amanah namun tugasanku kepada Yang Maha Esa itu adalah kewajipanku sebagai seorang hamba di muka bumi.
Penyapu dan penyodok plastik disandarkan ke dinding surau sambil aku mula melangkah masuk ke dalamnya dengan seribu pengharapan dan doa.
Usai solat subuh, aku bingkas bangun keluar dari surau. Aku mencapai penyapu dan penyodok plastik teman setiaku itu lantas memulakan tugas dengan menyapu daun-daun kering yang berselerakan di atas jalan tar.
Tanpa bersarapan pagi, aku meneruskan tugas itu tanpa mempedulikan kelaparan yang semakin berumah di perutku.
Sapuan demi sapuan, akhirnya tugasan di situ selesai. Aku menghela nafas kelegaan. Aku berjalan agak jauh sehinggalah aku bertemu dengan rakan sekerja iaitu Meena seorang wanita berbangsa India.
“Man! Sudah sarapan?” Soal Meena yang duduk di bawah sebatang pokok.
Aku hanya menggeleng kepala. Meena mengesat peluh di dahi dengan sehelai sapu tangan lusuh.
“Kalau kau belum sarapan, marilah sini. Aku ada beli tosei.” Pelawa rakan baikku itu.
Aku sudah terbiasa dengan pemberian Meena. Persahabatan kami seperti isi dan kuku. Meskipun Meena dan aku berlainan agama, bangsa dan jantina namun bagiku itu bukanlah halangan untuk kami saling bantu-membantu. Malah, kerana Meenalah aku bekerja sebagai tukang sapu.
Aku masih ingat lagi kira-kira 10 tahun lalu aku diberhentikan kerja kerana syarikat tempat aku bekerja terpaksa ditutup akibat kegawatan ekonomi. Aku pulang dengan fikiran berkecamuk. Otakku beku dan terasa ingin meraung sekuat hati.
Waktu itu, aku hanya duduk termenung seperti seekor burung yang patah sayap. Waktu itu juga, fikiranku hanya berlegar tentang isteri serta tiga anakku yang masih bersekolah.
Otakku ligat memikirkan bagaimana hendak mencari pekerjaan di kota besar itu. Bukan aku tidak mempunyai simpanan, ada tetapi itu untuk kegunaan anak sulungku yang baru menuntut di sebuah universiti tempatan manakala dua anakku lagi masih bersekolah menengah dan rendah.
“Kenapa bang? Sejak balik kerja abang banyak termenung?” Tanya isteriku.
Aku hanya menggeleng-gelengkan kepala sahaja. Wajahku sugul. Mataku mula berkaca. Sesekali aku mengeluh perlahan.
“Cubalah cerita kepada saya. Mana tahu saya boleh membantu abang.” Pujuk isteriku lagi.
Petang itu Meena datang ke rumahku. Barangkali isteriku telah menceritakan segala-galanya kepada Meena. Meena hanya senyum. Kemudiannya, Meena memberikan cadangan agar aku bekerja di syarikat tempat dia bekerja sebagai tukang sapu.
Pada mulanya aku menolak cadangan itu kerana aku merasakan kerjaya sebagai tukang sapu itu tidak bergaji lumayan dan aku akan terdedah dengan pelbagai kekotoran yang sememangnya akan meloyakan tekak sesiapa sahaja apabila berhadapan dengan sisa buangan.
Namun, Meena menyedarkan aku bahawa setiap helaian sampah yang disapu itu adalah rezeki yang halal untuk membesarkan anak-anakku dan menjunjung mahkota kejujuran bagi sebuah pekerjaan yang paling kerap dipandang sebelah mata oleh masyarakat.
Keringat seorang tukang sapu bukan diukur dengan mahalnya gaji yang dibayar tetapi amanah dan jujur adalah asas kepada keberkatan rezeki yang diperoleh pada setiap bulan.
Meena juga seperti aku. Usai suaminya meninggal dunia kira-kira 15 tahun yang lalu, maka dibahunyalah disandarkan segala beban dan tanggungjawab untuk membesarkan empat orang anak perempuan.
Berkat kesungguhan dan kesabarannya itu akhirnya keempat-empat orang anaknya berjaya menjadi doktor, guru, pramugari dan jurutera. Kesemua itu adalah jasa daripada pekerjaannya sebagai tukang sapu.
Dan aku, menjadikan Meena sebagai sumber motivasi untuk terus menjadi tukang sapu kerana aku tahu inilah perancangan yang sebaik-baiknya dari Tuhan untuk kelangsungan hidupku serta isteri dan anak-anak.
Barangkali ada yang menganggap pekerjaan sebagai tukang sapu tidak ada cabaran.
Sebenarnya, aku dan Meena turut menerima pelbagai dugaan. Beberapa hari lalu, kaki Meena nyaris terkena simbahan kuah kari panas. Ketika itu, kami baru sahaja menyapu di laluan pejalan kaki berhampiran sebuah restoran.
Dengan tidak semena-mena, seorang pekerja restoran menyimbah saki-baki kuah kari tanpa menyedari kami ada di situ. Mujurlah Meena sempat menggelak, jika tidak entahlah apa yang akan berlaku. Meena hanya menepuk dahi berulang kali tatkala itu.
Juga, beberapa bulan lalu ketika kami menyapu sampah di sebuah taman permainan, beberapa remaja lelaki membiarkan sahaja tin minuman kosong di atas kerusi batu.
Paket makanan ringan dibiarkan begitu sahaja. Meena mula rasa tidak puas hati, lantas ditegurnya remaja lelaki itu.
“Adik, kalau dibiarkan macam ni nanti boleh jadi sarang nyamuk aedes. Tong sampah sebelah adik saja.” Tegur Meena dengan nada yang baik.
“Inikan kerja tukang sapu. Kalau kami rajin sangat nanti tukang sapu tak ada kerja pula.” Balas remaja itu sambil menjeling ke arah Meena.
“Tak baik cakap macam tu. Makcik tegur untuk kamu jadi teladan kepada budak-budak yang bermain di taman ni.” Kata Meena lagi.
Kesudahannya, beberapa ibu bapa yang berada di taman permainan itu turut memarahi kumpulan remaja itu dan akhirnya mereka terpaksa mengutip sampah dan membuangnya ke dalam tong sampah.
Waktu itu, aku melihat Meena tersenyum puas. Bukan kerana senyuman membalas dendam tetapi kerana masih ada lagi segelintir masyarakat yang peka terhadap kebersihan dan menjadi suri teladan kepada anak-anak mereka.
Aku mengangkat ibu jari seperti memberitahu bahawa apa yang dilakukan oleh Meena itu betul dan seharusnya mereka bersimpati dengan nasib seorang tukang sapu kerana kami juga mempunyai hati dan perasaan seperti insan yang lain.
Aku juga mengalami peristiwa yang tidak dapat dilupakan ketika menyapu sampah di tepi jalan raya. Waktu itu, kenderaan berpusu-pusu di atas jalan raya.
Bunyi bising enjin yang menderu-deram menjadikan suasana agak sibuk dan sesak dengan pelbagai jenis kenderaan. Seperti biasa, aku akan menyapu daun-daun kering tanpa mempedulikan sesiapa.
Namun, tiba-tiba sebuah motosikal bergerak laju meluru ke arahku. Penunggang motosikal itu tidak sempat mengelak dan terus melanggar aku di tepi jalan. Habis daun-daun kering yang baru sahaja dikumpulkan di situ berselerakkan di atas jalan. Dan aku, sudah tersembam di bahu jalan dengan darah pekat yang mengalir laju di dahi dan lututku.
Seminggu juga aku terlantar di rumah. Mujurlah aku hanya mengalami kecederaan ringan jika tidak, entahlah apa yang akan berlaku.
Ketika kejadian, aku sudah mengikut SOP keselamatan dengan memakai ves pemantul cahaya, sentiasa berjaga-jaga dan memastikan adanya kon keselamatan untuk menutup kawasan kerja. Benarlah, malang tidak berbau dan akhirnya aku juga yang menjadi mangsa.
Kadang-kadang aku tidak faham sikap manusia yang suka menganiaya binatang.
Pernah juga aku menjumpai plastik berwarna hitam yang bergerak-gerak. Tatkala itu aku berasa amat takut jika ada binatang berbisa di dalamnya. Namun, ketika aku mengangkatnya didapati ada dua ekor anak kucing yang masih kecil di dalam plastik hitam itu.
Alangkah sedihnya ketika itu. Manusia sudah hilang rasa simpati sebaliknya ketawa apabila dapat mendera binatang sedemikian rupa. Sungguh, aku berasa sangat marah dengan perlakuan yang tidak bertamadun itu. Akhirnya, aku melepaskan dua ekor anak kucing yang tidak berdosa itu dengan linangan air mata.
“Apa yang dimenungkan itu, Man. Nah, satu tosei untuk kau.” Kata Meena menyebabkan aku tersentak dari lamunan yang panjang.
Aku duduk di sebelah Meena sambil mengambil tosei yang dihulur. Meena hanya tersengih sahaja apabila melihat gelagatku itu.
“Jadual bertugas dah keluar. Selepas cuti kemerdekaan, kita ditugaskan membersihkan kawasan pejalan kaki di Taman Serawa,” ujar Meena.
Aku hanya menganggukkan kepala seperti burung belatuk. Aku juga tahu apa yang bakal berlaku di situ nanti. Namun, bagiku itu semua alah bisa tegal biasa bagi seorang tukang sapu sampah seperti aku dan Meena.
Pada waktu-waktu begitulah, jumlah sampah akan meningkat secara mendadak. Malah jika tidak kena gayanya, mungkin kami terpaksa bekerja tanpa mengira masa rehat.
Namun, itulah kerjaya yang menjadi pilihan kami. Berpanas di bawah teriknya matahari dan basah kuyup dibasahi hujan serta bergelumang dengan bau busuk sampah sarap dan kotoran, kami sudah kalis menghadapi segalanya.
Sehari selepas Hari Kebangsaan, aku dan Meena telah ditugaskan untuk membersihkan kawasan jalan kaki. Memang benar jangkaku, di hadapanku terdapat tong sampah yang sudah melimpah isi perutnya.
Plastik, botol, cawan dan bekas makanan serta pelbagai bungkusan bertaburan serta ditinggalkan begitu sahaja di atas rumput. Kadang-kadang aku terfikir, adakah masyarakat telah benar-benar merdeka dengan sikap ‘tidak apa?’ Nanti ada orang bersihkan? Atau kalau kita buat kerja itu tukang sapu hendak buat apa?
Dan semua persoalan seperti itu memperlihatkan mentaliti sesetengah masyarakat yang masih lagi berada ditakuk lama.
Namun, siapalah aku untuk menegur tingkah laku segelintir masyarakat untuk membina minda kelas pertama sedangkan masih kurangnya kesedaran sivik dalam jiwa mereka?
Alangkah baiknya jika mereka menjiwai perasaan seorang tukang sapu seperti aku yang tidak sanggup mencampakkan sampah di ruang tamu rumah sendiri sama seperti negara kita juga sebagai sebuah rumah yang dihuni oleh kita sendiri.
Di bawah rembang senja yang kian redup, aku melihat penyapu dan penyodok plastik yang tersemat cinta yang tiada bertepi dari seorang tukang sapu kepada tanah air tercinta dengan pengharapan agar kebersihan itu sentiasa mekar di jiwa setiap anak bangsa.
Dari laluan pejalan kaki itu, aku juga dapat melihat senyuman yang terukir di bibir isteri dan anak-anakku tanpa berasa jijik dengan pekerjaanku sebagai seorang tukang sapu sampah.
Sebaliknya, menghargai pekerjaanku itu dengan rasa syukur yang sangat mendalam kerana keringat si tukang sapu itu lebih bernilai daripada segunung emas. –UTUSAN










