GEORGE TOWN : Perang ‘dingin’ antara Pas dan Gerakan dilihat semakin tegang apabila Pemuda Pas Pulau Pinang mengalu-alukan tindakan Gerakan jika parti itu memilih untuk keluar daripada Perikatan Nasional (PN) ketika ini.
Naib Ketua Pemuda Pas negeri, Muhammad Hafiz Alias mendakwa, Gerakan adalah liabiliti kepada PN, malah, menganggap parti itu seumpama ‘lidah’ kepada DAP.
“Mereka (Gerakan) kata nak keluar daripada PN, elok. Mereka kata nak keluar PN, dengan segala hormatnya dipersilakan keluar ‘angkat kaki’ daripada PN.
“Dulu pun masa Pakatan Rakyat, DAP macam ni. Itu pasal judi. Kita dah kata berapa kali, Gerakan ini buat tidak faham ke apa? Kita nak sekat orang Islam daripada buat perkara-perkara mungkar dan maksiat, itu memang dihalang.
“Gerakan ini senada dengan DAP, isu arak mereka senada dengan DAP, memang masalah. Gerakan dah jadi ‘lidah’ DAP, kalau Pas nak bersama dengan Gerakan, perangai Gerakan sama dengan DAP, apa guna? Pas nak perjuangkan apa? ” soalnya menerusi satu rakaman dalam video TikTok, semalam.
Sebelum ini, Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong dilaporkan berkata bahawa parti berkenaan tidak teragak-agak keluar daripada PN dan kekal teguh menyokong serta mempertahankan usaha sekolah Cina mengumpul dana walaupun terdapat ancaman tidak munasabah daripada sekutunya.
Ia ekoran kenyataan Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari bahawa Pas mungkin tidak akan bekerjasama dengan Gerakan pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) susulan kecewa dengan pendirian parti tersebut yang menyokong isu derma syarikat arak kepada sekolah.
Mengulas lanjut, Muhammad Hafiz berkata, Gerakan sudah menjadi liabiliti kepada PN malah parti itu tidak kuat untuk memperoleh sokongan masyarkat Cina.
“Gerakan pun liabiliti sahaja kepada PN, Gerakan bukan kuat mana pun. Ada satu kerusi dekat Kedah tu pun tempat Melayu Islam tau. Kamu kena ingat mereka kata nak keluar daripada PN, silakan keluar daripada PN,” katanya.
Dalam pada itu, Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau dalam satu kenyataan hari ini dilaporkan berkata, PN akan segera mengadakan perbincangan berhubung bagaimana untuk menguruskan perbezaan antara parti komponen dalam memperkasakan keutuhan gabungan tersebut.
Perbincangan tersebut dipercayai susulan kontroversi derma syarikat arak kepada sekolah aliran apabila Gerakan tidak sependapat dengan pemimpin Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hingga mengundang kecaman pelbagai pihak khususnya beberapa pemimpin Pas terhadap parti itu ketika ini.-UTUSAN










