PETALING JAYA: Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh dan seorang pengawal peribadinya, hari ini.
Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) dalam satu kenyataan berkata, susulan tragedi itu, Malaysia menzahirkan ucapan takziah dan simpati kepada ahli keluarga, barisan pimpinan dan rakyat Palestin secara keseluruhannya.
“Malaysia tanpa ragu-ragu mengutuk semua tindakan keganasan, termasuk pembunuhan yang disasarkan serta menggesa semua negara yang cintakan keamanan untuk turut sama mengecam tindakan tersebut.
“Insiden ini menekankan keperluan mendesak untuk meredakan ketegangan dan memperkukuhkan keperluan semua pihak bagi terlibat dalam dialog konstruktif serta mencari penyelesaian damai,” katanya hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan laporan berita media antarabangsa terhadap insiden pembunuhan Ismail Haniyeh yang juga bekas Perdana Menteri di Tehran, Iran, hari ini.
Ismail Haniyeh berada di Tehran bagi menghadiri majlis angkat sumpah Presiden baharu Iran, Masoud Pezeshkian, pada Selasa lalu.
Mengulas lanjut, Wisma Putra berkata, Malaysia menggesa siasatan segera dan menyeluruh terhadap pembunuhan tersebut serta mengheret pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan.
Katanya, Malaysia juga menggesa semua pihak untuk bersikap tenang sementara fakta mengenai pembunuhan dikenalpasti.
“Malaysia berdiri teguh bersama rakyat Palestin dan menegaskan komitmen untuk menyokong perjuangan mereka bagi keadilan dan penentuan nasib sendiri.
Malaysia mengiktiraf peranan dan sumbangan Ismail Haniyeh dalam usaha membebaskan Palestin dan rakyatnya dari penjajahan haram Israel.
Dalam pada itu, Wisma Putra turut memaklumkan bahawa Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul kini berada di Tehran sebagai wakil Malaysia ke majlis perasmian Presiden Republik Islam Iran.
“Semua ahli delegasi Malaysia berada dalam keadaan selamat,” katanya. –UTUSAN











