KUALA LUMPUR: Polis menahan dua lelaki yang terlibat kes pukul seorang wanita dan memandu kereta secara berbahaya sehingga melanggar beberapa kenderaan lain di Batu 9, Cheras dekat sini, Ahad lalu.
Kejadian terbabit turut dirakam orang awam dalam dua video berdurasi 45 saat dan 31 saat hingga tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya terkesan dengan dua video tular terbabit yang menunjukkan kejadian sebuah kenderaan jenis Honda City warna putih dipandu secara gopoh sehingga melanggar beberapa kenderaan di kawasan Batu 9 Cheras dekat sini kira-kira pukul 6 petang, 28 Julai lalu.
Katanya, kenderaan yang dinaiki suspek dikatakan melarikan diri setelah memukul seorang wanita berusia 29 tahun menggunakan topi keledar dipercayai teman wanitanya sehingga cedera parah di Taman Saujana Impian dekat sini.
“Susulan itu, Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang telah menerima dua laporan polis berkenaan.
“Bertindak atas maklumat, kita menahan dua lelaki tempatan berusia 25 dan 26 tahun yang merupakan teman lelaki dan rakan kepada wanita itu pada 4 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Naazron, pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek masing-masing mempunyai 12 dan 22 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.
Jelasnya, kedua-dua mereka direman selama enam hari bagi membantu siasatan.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu secara gopoh yang boleh membahayakan diri dan nyawa orang lain yang boleh dikenakan hukuman enam bulan penjara atau denda sehingga dua ribu ringgit jika disabitkan kesalahan.
“Manakala bagi kesalahan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mencederakan manusia menggunakan senjata sehingga cedera parah boleh dihukum penjara maksimum dua puluh tahun dan hendaklah dikenakan denda dan sebat,” katanya.
Tambahnya, pihak polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh berhubung terus dengan balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat kes Inspektor Mohd. Raziman Rasid di talian 019-4565502 bagi membantu siasatan. – UTUSAN










