PETALING JAYA: Perlis dan Putrajaya adalah dua negeri yang mencatatkan penduduk wanita lebih ramai berbanding lelaki di negara ini.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, nisbah wanita di Perlis dan Putrajaya adalah 100 orang bagi setiap 99 dan 98 lelaki masing-masing di kedua-dua negeri tersebut.
“Secara keseluruhan, kesemua negeri di Malaysia mencatatkan bilangan lelaki melebihi wanita kecuali bagi Perlis dan Putrajaya.
“Negeri yang mencatatkan nisbah jantina tertinggi adalah Kuala Lumpur dengan 117 lelaki bagi setiap 100 perempuan diikuti oleh Johor (116), Selangor (115) dan Pahang (114),” katanya ketika membentangkan Trend dan Analisis Kependudukan serta Demografi Malaysia 2024 bersempena Hari Penduduk Sedunia hari ini.
Sementara itu, Mohd. Uzir berkata, kepadatan penduduk Malaysia juga telah meningkat kepada 103 orang pada 2024 berbanding 101 orang bagi setiap kilometer persegi pada tahun sebelumnya seiring dengan pertambahan penduduk.
Katanya, Kuala Lumpur merupakan negeri yang paling padat penduduk dengan 8,518 orang bagi setiap kilometer persegi diikuti Putrajaya (2,440 orang) dan Pulau Pinang (1,746 orang).
“Sarawak mempunyai kepadatan penduduk terendah dengan 20 orang bagi setiap kilometer persegi, diikuti oleh Pahang iaitu 46 orang dan Sabah dengan 51 orang,” katanya. –UTUSAN










