PETALING JAYA: Pas mengutuk Israel berhubung pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh yang maut dalam serangan di kediamannya dekat Teheran, Iran, hari ini.
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, Pas mengecam serangan Israel di Teheran yang telah mengorbankan nyawa Ismail Haniyeh dan seorang pengawal peribadinya.
Pada masa sama, Abdul Hadi turut berkata, Pas mengucapkan takziah kepada keluarga Ismail Haniyeh berhubung tragedi itu dan mendoakan pemimpin tertinggi Hamas tersebut dikurniakan ganjaran syahid di sisi Allah SWT.
“Seluruh dunia perlu mengutuk Israel yang pengecut dan bukan sahaja merupakan dalang di sebalik serangan ini, malah sedang melakukan jenayah perang di Gaza.
“Palestin, perjuangan tidak bernoktah, sokongan tidak bermusim,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, media antarabangsa melaporkan, Ismail Haniyeh dan seorang pengawal peribadinya terbunuh dalam serangan di kediamannya dekat Tehran pagi ini.
Ismail Haniyeh berada di Teheran bagi menghadiri majlis angkat sumpah Presiden baharu Iran, Masoud Pezeshkian.










