PETALING JAYA: Seorang remaja perempuan tingkatan lima dilaporkan hilang selepas kali terakhir dilihat di kediamannya di Taman College Heights, Sikamat, Seremban, Negeri Sembilan.
Kehilangan Nur Farah Diana Mohd. Erwadi, 17, disedari oleh ibunya kira-kira pukul 7 pagi tadi.
Nor Akmar Hariri, 43, berkata, dia menyedari kehilangan anak kedua daripada tiga beradik itu ketika hendak mengejut pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Ampuan Durah terbabit.
“Apabila masuk ke bilik, saya dapati dia tiada (Nur Farah Diana) bersama telefon bimbit serta beg sekolah dan bekas alat solek. Malah, isyarat lokasi terakhir telefon bimbitnya di rumah.
“Kali terakhir saya nampak dia kira-kira pukul 12 tengah malam hingga 1 pagi tadi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Susulan itu, Nor Akmar Hariri telah membuat laporan di Balai Polis Sikamat hari ini.
Dia menyeru mana-mana pihak mempunyai maklumat berhubung keberadaan anaknya diminta menghubungi 012-2225787.
“Saya juga ada bertanya kepada rakan-rakan sekolah anak namun tiada siapa yang tahu mengenai keberadaannya,” ujarnya. – UTUSAN











