DEWAN NEGARA: RM14.3j dibelanja nikmati Skim Perubatan Madani DEWAN NEGARA: RM14.3j dibelanja nikmati Skim Perubatan Madani

DEWAN NEGARA: RM14.3j dibelanja nikmati Skim Perubatan Madani

LUKANISMAN Awang Sauni semasa sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Negara hari ini. -JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) membelanjakan RM14.3 juta pada suku kedua tahun ini melibatkan 123,572 pesakit yang menikmati manfaat Skim Perubatan Madani.

Timbalan Menterinya, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, peruntukan yang dibelanja itu adalah dari 1 April hingga 30 Jun lalu.

Katanya, manfaat perubatan itu meliputi 151,199 rawatan antaranya demam dan selesema, cirit-birit dan muntah, terseliuh, sakit kepala dan trauma ringan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kesemua pesakit adalah dalam kalangan golongan berpendapatan rendah (B40) iaitu penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan isi rumah mereka sahaja.

“Ini selaras dengan hasrat kerajaan memberi subsidi bersasar kepada golongan yang memerlukan bantuan dengan memfokuskan sumber pada kawasan dan penerima tertentu sahaja,” katanya semasa sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Ahmad Datuk Ibrahim mengenai peratusan penggunaan Skim Perubatan Madani golongan B40 dan M40 sepanjang suku kedua 2024.

Mengulas lanjut, kata Lukanisman, Skim Perubatan Madani yang dilancar sebagai projek perintis sejak 15 Jun 2023 untuk mengurangkan kesesakan pesakit di Jabatan Pesakit Luar dan Klinik Kesihatan KKM.

“Bermula 26 Februari 2024, kawasan liputan skim perubatan ini hanya fokus kepada 10 daerah fasa 1 iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Gombak, Hulu Langat, Petaling, Klang (Selangor), Johor Bahru (Johor), Kinta (Perak), Timur Laut (Pulau Pinang), Kota Kinabalu (Sabah) dan Kuching (Sarawak),” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN