KUALA NERUS: Terengganu FC (TFC) dipaksa bekerja keras sebelum menang 3-2 ke atas pasukan tercorot, Negeri Sembilan dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam ini.
Keputusan itu membolehkan TFC melonjak ke kedudukan ketiga mengumpul 11 mata daripada enam perlawanan manakala Negeri Sembilan masih dengan tiga mata di tangga terbawah.
Dalam perlawanan itu, TFC bermula baik menerusi percubaan Marin Pilj berpunca gerakan Akhyar Rashid minit kesembilan yang menuju tepat ke arah penjaga gol pelawat.
Negeri Sembilan kemudian menghukum kelekaan TFC untuk mendahului minit ke-16 selepas Miguel Martinez menanduk kemas bola hantaran Takumi Sasaki dari sebelah kiri.
Tersentak dengan gol itu TFC meningkatkan tekanan namun sepakan percuma Pilj minit ke-26 dan minit ke-38 ditepis keluar penjaga gol skuad Rusa, Muhammad Aqil Abdul Razak.
Tuan rumah akhirnya membawa kedudukan 1-1 ke bilik persalinan setelah ketua pasukan, Safawi Rasid menyudahkan sepakan percuma di depan kotak penalti pada minit ke-47.
Peracaturan TFC memasukkan Chukwu Chijioke berhasil apabila bola tandukan penyerang Nigeria itu hasil umpanan Akhyar menerjah jaring hanya empat minit selepas rehat.
Kedudukan berubah lagi pada minit ke-53 kali ini giliran Negeri Sembilan mengikat kedudukan 2-2 melalui percubaan deras Jacques Faye yang tidak dikawal dalam kotak penalti.
TFC akhirnya lega selepas sepakan leret Akhyar (m-59) menewaskan Muhammad Aqil yang bolos buat kali ketiga malam ini dan meletakkan tuan rumah kembali mendahului.
Safawi berpeluang menambah koleksi jaringan tetapi percubaan menariknya minit ke-64 melencong ke sebelah tepi sebelum kedudukan 3-2 memihak TFC kekal sehingga tamat. – UTUSAN










