Bina dan jual: Pemaju berisiko muflis

Bina dan jual: Pemaju berisiko muflis

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skim pembe­lian rumah ‘bina dan jual’ akan menyebabkan pemaju perumahan berhadapan dengan risiko 100 peratus sehingga boleh menyebabkan mereka berhadapan dengan muflis.

Pakar bidang hartanah, Prof. Dr. Ismail Omar berkata, skim tersebut masih menerima sambutan ‘dingin’ oleh pemaju walaupun ia memang dapat menguntungkan para pembeli sekiranya dilaksanakan.

Ini kerana, menurut beliau, sekiranya skim tersebut dikuatkuasakan maka pemaju akan menanggung cabaran dan risiko yang besar.

MODAL

“Mereka perlu modal lebih besar kerana tiada bayaran lebih awal daripada pembeli. Justeru, terpaksa menanggung risiko kewangan. Begitu juga risiko pasaran apabila iklim ekonomi jatuh merudum. Mereka tidak dapat memindahkan risiko pasaran ini kepada pembeli berbanding skim jual kemudian bina.

“Akhirnya pemaju boleh muflis apabila rumah yang siap dibina tidak laku di pasaran. Senario ini boleh berlaku apabila pembeli boleh menilai pasaran mereka dan beralih kepada pasaran sewa dan bukan membeli di pasaran modal,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, Khazanah Research Institute (KRI) mencadangkan peralihan kepada skim pembelian rumah ‘bina dan jual’ di Malaysia, iaitu pemaju perlu menyiapkan projek perumahan sebelum dijual bagi melindungi kepentingan pengguna.

Ia bermaksud rumah dijual selepas dibina, bukannya dalam keadaan beli dahulu, baru siap kediaman.

Mengulas lanjut, Dr. Ismail berkata, hanya pemaju yang kukuh dan mempunyai modal besar boleh berjaya serta dapat bertahan dengan skim bina dan jual.

Katanya, pemaju-pemaju ‘kecil’ akan berhadapan de­ngan kesulitan untuk menjalankan urusan apabila skim tersebut dilaksanakan.

POLISI

“Bagi saya, ia boleh dilaksanakan tetapi kerajaan perlu membentuk polisi bagi membolehkan syarikat pemaju kecil dan sederhana bergantung atau menjalankan usahasama yang sesuai, menyalurkan dana kepada mereka melalui pendanaan yang mesra, menyemarak pembiayaan patuh syariah,” jelasnya.

Sementara itu, penganalisis ekonomi, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, kerajaan perlu membina industri baharu bagi mewujudkan situasi menang-menang antara pembeli dan pemaju.

Jelasnya, industri tersebut bermaksud ada pihak lain yang membeli rumah atau menyimpan stok rumah daripada pembekal dan kemudiannya dijual kepada pembeli atau rakyat.

“Di dalam perbankan Islam, bank digalakkan menjadi pemegang stok ini. Maksudnya, bank akan menempah dan membeli rumah daripada pemaju.

“Jadi apabila pelanggan datang untuk membeli kediaman mereka maka bank boleh tunjuk rumah yang sudah siap atau berada dalam stok mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×