Datuk maut, cucu perempuan cedera kemalangan - Utusan Malaysia

Datuk maut, cucu perempuan cedera kemalangan

MANGSA meninggal dunia di lokasi kejadian setelah motosikal dinaiki kemalangan dengan sebuah kereta di Pokok Sena. -IHSAN BOMBA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang warga emas maut manakala cucu perempuannya cedera apabila motosikal dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di hadapan Taman Puteri di Pokok Sena, hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 9.07 pagi itu, Ismail Mat, 79, meninggal dunia di tempat kejadian sementara cucunya, Arissa Azim, 3, yang membonceng motosikal tersebut cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada motosikal yang ditunggang mangsa bersama cucunya itu dilanggar oleh sebuah kereta yang datang dari arah Kuala Nerang menuju ke Alor Setar.

“Pelanggaran mengakibatkan kedua-dua kenderaan terbabit terbabas ke bahu jalan. Bagaimanapun polis masih menjalankan siasatan lanjut termasuk mengesan saksi kejadian bagi mengetahui punca sebenar kemalangan.

“Polis meminta kerjasama orang ramai untuk tampil memberi keterangan di Balai Trafik Kota Setar atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohamad Nor Amin Shariffudin di talian 04-7321222 atau 0174746379 bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut beliau, mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk tindakan lanjut, sementara kanak-kanak tersebut yang mengalami kecederaan di bahagian kepala sedang dirawat di Zon Merah hospital sama.

“Pemandu kereta iaitu lelaki berusia 28 tahun yang mengalami kecederaan ringan menerima rawatan di Zon Kuning HSB. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Penyelamat Pokok Sena, Pegawai Bomba Tinggi II Bakar Saad berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 9.12 pagi berhubung kejadian itu sebelum sebuah jentera digerakkan ke lokasi. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×