KUALA NERUS: Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA) di sini melakar sejarah menjadi hospital pertama di Pantai Timur yang beroperasi menggunakan Digital Laparoscopic Suite bagi tujuan pembedahan laparoskopi (MIS).
Pakar Bedah Kolorektal HoSZA, Dr. (Mr.) Ahmad Fardi Sulaiman berkata, melalui kaedah tersebut, ia dapat membantu pesakit pulih dengan lebih cepat dan tahap kesakitan pasca pembedahan lebih rendah berbanding pembedahan bukaan besar.
“Kaedah ini juga dapat membantu mengecilkan luka pembedahan dengan kos lebih efektif berbanding kaedah konvensional (bukaan luka lebih besar).
“Malah, kebanyakan pesakit dapat bangun atau berjalan dari katil dengan lebih cepat selepas melakukan pembedahan,” katanya selepas membuat pembedahan pesakit kanser usus secara langsung, di sini, kelmarin.
Selain pembedahan, kaedah itu juga untuk latihan, pengajian dan pembelajaran di HoSZA.
Menurut beliau, melalui kaedah itu, pembedahan mampu dilakukan secara siaran langsung dan boleh ditonton di lokasi lain seperti bilik seminar, auditorium malah platform siaran maya iaitu Google Meet dan WebEx.
“Ini dapat membantu doktor dan pelajar terutama di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) untuk melihat lebih dekat bagaimana pakar melakukan pembedahan tanpa mereka berada di dalam dewan pembedahan,” katanya.
Dr. Ahmad Fardi berkata, dari 2018 hingga 2022, sebanyak 371 kes dilaporkan berlaku di Terengganu.
“Daripada jumlah itu, seramai 146 pesakit datang ke hospital dalam keadaan yang memerlukan pembedahan kecemasan.
“Kebanyakan pesakit datang dengan gejala usus tersumbat iaitu seramai 106 orang manakala 21 pesakit lagi datang dengan gejala pendarahan.
“Lebih membimbangkan kerana pada tahun lalu sahaja, Terengganu merekodkan sebanyak 218 kes baharu kanser kolorektal yang mendapatkan rawatan di semua hospital utama di negeri ini,” katanya. – UTUSAN











