PPPTM 2026-2035: Pihak berkepentingan dibuka ruang beri pandangan - Utusan Malaysia

PPPTM 2026-2035: Pihak berkepentingan dibuka ruang beri pandangan

DR. ZAMBRY Abdul Kadir hadir pada sesi libat urus pada Program Karisma Pemikir Madani Siri 2 di AKEPT, Bandar Enstek, Nilai, Seremban hari ini.-UTUSAN/NUR SHARIEZA ISMAIL.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) membuka ruang kepada semua pihak berkepentingan dalam memberi pandangan dalam usaha membangunkan Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPPTM) bagi tempoh 2026-2035 yang sedang dirangka. 

Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir menjelaskan, KPT tidak langsung mengambil pendekatan menutup pintu sebaliknya mendengar pandangan khususnya dalam kalangan kumpulan akademik. 

“Mereka semua bebas menyatakan pandangan yang dilihat suatu yang dekat di hati rakyat, jadi saya mengalu-alukan sebarang usaha tersebut untuk kita memantapkan Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia yang akan dilaksanakan,” katanya. 

Beliau berkata demikian selepas sesi libat urus Program Karisma Pemikir Madani Siri 2 di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Bandar Enstek, Nilai di sini, hari ini. 

Zambry dalam pada itu menambah, PPPTM 2026-2035 itu akan dapat disempurnakan tahun hadapan.

“Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia kali ini akan melibatkan keseluruhan pandangan dari tokoh, pendidik, pakar dan pemikir akademik tempatan berbanding sebelum ini. 

“Kali ini kita menggunakan kepakaran kita sendiri, Sebab itu kita akan lihat pandangan daripada pihak luar. Kita tidak menyekat kumpulan akademik menyuarakan pandangan meskipun menerima kritikan. 

“Bagi saya paling mustahak ialah kita mendengar semua pandangan namun hal ini akan dibawa untuk dipertimbangkan dalam membuat unjuran penyediaan pelan pembangunan pendidikan tinggi,” katanya.

Sementara itu dalam perkara berasingan, Zambry berkata, KPT memahami keperluan memulakan program kursus pengajian kejururawatan namun dalam masa sama beliau mengarahkan supaya kualiti itu disemak dengan sebaik-baiknya.

“Kita telah pun membuat persiapan dan Timbalan Menteri akan turut melihat persiapan bagi memulakan semula program tersebut,” katanya. 

Media sebelum ini melaporkan moratorium atau pembekuan ke atas penawaran kursus pengajian baharu kejururawatan peringkat diploma di Institut Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) sejak 2010 akan ditamatkan mulai 1 Ogos ini.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud dilaporkan berkata keputusan penamatan itu dibuat oleh Jemaah Menteri pada 5 Julai lalu berikutan beberapa siri perbincangan antara (KPT) dengan Kementerian Kesihatan mengenai kekurangan jururawat berdaftar di negara ini.

Beliau berkata penamatan moratorium itu bagi mengatasi kekurangan jururawat yang dipengaruhi beberapa faktor antaranya penurunan jumlah IPTS aktif menawarkan kursus berkenaan di peringkat diploma.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×