Pusat Akuatik tercemar dengan E-Coli - Mohd. Hairi - Utusan Malaysia

Pusat Akuatik tercemar dengan E-Coli – Mohd. Hairi

MOHD. HAIRI Mad Shah bergambar bersama-sama para penerima replika cek Bantuan Pantri kepada Hospital di Negeri Johor di HSA, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Laporan Jabatan Kimia menunjukkan sampel air yang diambil di Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) Arena, Larkin, di sini mengandungi bakteria Eescherichia Coli (E-Coli).

Bakteria itu dikesan dalam sembilan sampel air yang diambil dari kawasan kolam renang, kolam terjun, tangki takungan dan tandas.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd. Hairi Mad Shah ketika ditanya tentang perkembangan kes 19 pelajar yang dikejarkan ke hospital kerana mengalami muntah, demam dan kulit gatal selepas menyertai kejohanan sukan di pusat berkenaan, baru-baru ini.

Mohd. Hairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin berkata, pihaknya menerima laporan Jabatan Kimia itu pagi tadi yang memaklumkan kehadiran bakteria tersebut dalam jumlah kecil, namun masih boleh mendatangkan memudaratkan. 

“Secara ringkasnya, Jabatan Kimia telah menjalankan analisis terhadap sembilan sampel air yang dikumpul, termasuk kolam renang utama, kolam terjun, tandas dan tangki takungan. 

“Semua persampelan ini mendedahkan telah tercemar oleh bakteria E-Coli,” katanya selepas majlis penyerahan bantuan pantri kepada Hospital Negeri Johor di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini hari ini.

E-Coli ialah bakteria yang hidup dalam usus manusia dan haiwan serta kebiasaannya menyebabkan jangkitan melalui makanan, air atau sentuhan dengan najis yang membawa bakteria tersebut.

Bakteria itu boleh menyebabkan cirit-birit, muntah, demam dan paling bahaya dehidrasi atau penyahidratan yang boleh membawa maut.

Kelmarin, media melaporkan seramai 19 peserta kejohanan Akuatik anjuran Majlis Sukan Sekolah Johor (MSSJ) yang terdiri daripada pelajar lalu dikejarkan ke hospital selepas mengalami muntah-muntah, demam dan gatal kulit selepas menggunakan venue tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×