KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen Ampang dekat sini memerintahkan dua wanita membela diri terhadap pertuduhan memperdagang seorang wanita warganegara Indonesia dan mengambilnya bekerja tanpa permit yang sah, 10 tahun lalu.
Hakim Wan Mohd. Norisham Wan Yaakob mengarahkan Ong Su Ping Serene, 56, dan Sang Yoke Leng, 53, mengemukakan keterangan bela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie terhadapnya.
Beliau berpuas hati, wujud keterangan menunjukkan mangsa telah dieksploitasi oleh kedua-dua tertuduh serta melakukan kekerasan terhadap wanita tersebut.
“Tertuduh pertama (Su Ping) membawa mangsa ke rumahnya untuk bekerja sebagai pembantu rumah dan mangsa dalam keterangannya menyatakan beliau telah dipaksa makan nasi dengan cili rebus.
“Mangsa turut disuruh membuat senaman ‘duduk dan berdiri’ dalam keadaan bogel, dilarang menutup pintu ketika mandi, makan dalam mangkuk anjing selain dipukul dan diugut.
“Tertuduh kedua (Yoke Lang) melihat kekasaran yang dilakukan oleh tertuduh pertama, namun dia tidak menghalang perbuatan itu sebaliknya turut memukul mangsa,” kata hakim itu.
KETERANGAN JIRAN
Wan Mohd. Norisham berkata, terdapat keterangan jiran tertuduh yang mendengar suara tangisan pada waktu malam hingga awal pagi selain mengaku pernah menerima nota kecil daripada mangsa yang memaklumkan dia tertekan dan telah diancam sebelum diselamatkan pada 20 Disember 2014.
Hakim berkata, mangsa yang juga saksi pendakwaan pertama dalam keterangannya menyatakan dia turut dikurung, diugut dan diancam oleh kedua-dua tertuduh serta diberi amaran agar tidak berjumpa dan berbual dengan sesiapa bagi meminta pertolongan.
“Mahkamah mendapati mangsa bersetuju untuk bekerja sebagai pembantu rumah, tetapi bukan untuk dijadikan punching bag,” katanya.
Mengikut pertuduhan pertama, mereka didakwa memperdagang wanita berusia 32 tahun itu (ketika kejadian) bagi maksud eksploitasi menggunakan kekerasan atau bentuk paksaan lain di sebuah rumah di Persiaran Pandan 7, Pandan Jaya di sini antara April 2014 dan 20 Disember 2014.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 13 Anti Pemerdagangan Orang dan
Anti Penyeludupan Migran 2007 dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara tidak kurang tiga tahun dan maksimum 20 tahun dan denda.
Pertuduhan kedua, kedua-dua tertuduh didakwa mengambil pembantu rumah itu tanpa memiliki permit kerja sah pada tempat dan tarikh sama.
Sementara itu, pada prosiding sama, mahkamah melepaskan dan membebaskan Su Ping bagi dua lagi pertuduhan iaitu mendatangkan cedera parah dan cubaan membunuhnya.
Mengikut kedua-dua pertuduhan, Su Ping didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah dengan mencabut empat batang gigi mangsa menggunakan playar di sebuah rumah di Persiaran Pandan 7, Pandan Jaya, antara 11 April dan 20 Disember 2014.
Satu lagi pertuduhan, wanita itu didakwa cuba membunuh mangsa semasa mencederakannya di tempat sama pukul 6 petang pada 20 Disember tahun berkenaan.
Sebutan kes ditetapkan pada 19 Ogos ini. – UTUSAN








