PETALING JAYA: HB Global Limited (HB Global) mengumumkan pelantikan ahli lembaga pengarah baharu, termasuk Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif dan dua Lembaga Pengarah Bebas Bukan Eksekutif, untuk mengukuhkan pasukan kepimpimpinannya.
Syarikat mengumumkan pelantikan Datuk Muhammad Abdullah, Datuk Undang Luak Johol Ke-15, Negeri Sembilan sebagai Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif berkuat kuasa 29 Julai 2024.
Turut menyertai lembaga pengarah HB Global adalah Chin Nyat Fwu dan Elizabbeth Siew, kedua-duanya akan berkhidmat sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif.
Syarikat itu dalam kenyataan berkata, selain daripada tugas rasminya, Muhammad turut dikenali dengan kerja-kerja kemasyarakatan.
“Beliau merupakan Pengasas Yayasan Undang Johol, Pengerusi Kebajikan Dato’-Dato’ Adat Johol, Pengerusi Tahfiz Masjid Tanggai, Naib Pengerusi Persatuan Anti-Dadah Kebangsaan Negeri Sembilan dan Penaung Pertubuhan Rakan Pembimbing dan Motivasi Al Ghoniah, Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Suku Mungkal Johol Negeri Sembilan (Mungkajoho) dan Yayasan Pembangunan Masyarakat Malaysia (YPMM),” katanya.
Sementara itu, katanya, Chin mempunyai 25 tahun pengalaman korporat dalam perakaunan dan kewangan.
Jelasnya, Chin merupakan Pengurus Besar Kanan di Selangor Holdings Sdn. Bhd. sejak 2014 dan pernah berkhidmat sebagai Pengawal Kewangan di sebuah hotel terkemuka di Sydney, selain memegang pelbagai jawatan penting dalam Hong Leong Group.
“Memiliki Sarjana Muda Perniagaan (Perakaunan) dan Diploma Sistem Perniagaan daripada Universiti Monash, beliau juga seorang akauntan bertauliah dengan keanggotaan dalam Certified Practising Accountant (CPA) Australia dan Institut Akauntan Malaysia (MIA).
“Elizabbeth Siew pula Rakan Kongsi di Gan & Zul Advocates & Solicitors, dikenali dengan pendekatan perniagaan komersialnya yang intuitif dan kemahiran menggubal undang-undang.
“Pengkhususan dalam undang-undang hartanah, beliau merupakan ahli pengasas Persatuan PropTech Malaysia dan telah menerbitkan dua buah buku yang laris di pasaran. Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-undang (LLB) dari Universiti London serta mempunyai Sijil Amalan Guaman (CLP),” jelas kenyataan itu.
Mengulas pelantikannya, Muhammad berkata: “Adalah satu penghormatan dilantik menerajui HB Global. Saya percaya pengurusan syarikat komited untuk meningkatkan daya saing kami dalam pasaran dengan memperkenalkan idea perniagaan yang inovatif dan memanfaatkan teknologi canggih. Kami merancang untuk mengembangkan lagi perniagaan hiliran F&B kami untuk mengoptimumkan margin keuntungan dan mengembangkan asas pendapatan kami.”
Tambahan pula, katanya, Kumpulan akan meneroka pengembangan huluan dalam bidang pertanian dan akuakultur. Strategi itu bertujuan untuk meningkatkan pengeluaran dan kecekapan kos, memastikan bekalan bahan mentah yang mampan serta bagi meneroka peluang pasaran baharu untuk mengembangkan aliran hasil baharu.
“Keselamatan makanan adalah isu kritikal global yang penting untuk pembangunan perniagaan HB Global. Kumpulan akan menyediakan produk makanan yang selamat dan boleh dipercayai melalui kawalan kualiti yang ketat dan pembangunan produk yang inovatif,” tambah beliau. – UTUSAN










