Guru madrasah tidak mengaku amang seksual murid 12 tahun

Guru madrasah tidak mengaku amang seksual murid 12 tahun

TERTUDUH mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap murid perempuan bawah umur. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang guru agama sebuah madrasah di negeri ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap murid perempuan bawah umur.

Bagaimanapun, tertuduh, Muhammad Fakhrurrazi Abdul Rasid, 25, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan amang seksual fizikal dengan cara memeluk dari belakang dan memegang punggung seorang kanak-kanak perempuan yang ketika kejadian berusia 12 tahun.

Perbuatan itu dilakukan antara pukul 9.30 pagi hingga 11.30 pagi di sebuah madrasah dalam daerah Melaka Tengah pada 21 April 2024.

Mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah akta sama, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Syazwanie Marizan tidak menawarkan sebarang jaminan, namun mencadangkan RM20,000 dikenakan sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara.

Peguam Mohamed Musthafa merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan anak guamnya hanya merupakan guru sambilan dan berasal daripada keluarga susah.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tidak boleh mengganggu saksi pendakwaan dan perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan sehingga kes selesai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×