Pedalaman Sabah hasilkan 37.5% pengeluaran koko negara

Pedalaman Sabah hasilkan 37.5% pengeluaran koko negara

JOHARI ABDUL GHANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kawasan pedalaman Sabah menyumbang sebanyak 37.5 peratus daripada jumlah keseluruhan pengeluaran koko negara, kata Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata, beberapa pekebun kecil koko di kawasan ini berjaya mengeluarkan hasil tinggi koko sebanyak lebih 1,000 kilogram (kg) sehektar setahun, berbanding produktiviti nasional sebanyak 100 kg sehektar setahun.

Katanya, sebahagian biji koko dari kawasan itu menjadi pilihan dan dibeli oleh pengeluar coklat single origin dan beans-to-bar. 

“Tahun lalu, industri ini telah menyumbang pendapatan eksport sebanyak RM8.2 bilion. Ini jelas menunjukkan kepentingan industri ini dalam memangkin ekonomi negara. 

“Sehingga Mei 2024, pendapatan eksport industri koko telah mencapai RM4.8 bilion iaitu kira-kira 58 peratus berbanding pencapaian tahun lepas,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Johari, bagi menyokong pembangunan tanaman koko di pedalaman Sabah, Lembaga Koko Malaysia (LKM) sedang melaksanakan beberapa program pembangunan seperti Program Pemulihan Kebun Koko, pembinaan Mini Pemprosesan Biji Koko serta menyampaikan teknologi pengurusan kebun koko melalui aplikasi teknologi internet kebendaan (IoT) dan mekanisasi. 

“Mini Pemprosesan Koko Kampung Liau Ulu telah siap dibina dengan kos sebanyak RM70,000 dan dimanfaatkan oleh seramai 80 orang pekebun kecil koko di kawasan sekitarnya. 

“Sasaran pengeluaran adalah sebanyak 100 tan biji koko kering dijangka mampu memberi keuntungan melebihi RM200,000 setahun berdasarkan harga masa kini,” ujarnya. 

Johari berkata, bagi meningkatkan dan menarik minat penglibatan golongan belia dalam penanaman koko, LKM juga telah mewujudkan Kelab Belia Koko yang mana ahli-ahli kelab akan didedahkan dengan peluang menimba ilmu dan menambah pendapatan di dalam industri koko.

“Ini secara tidak langsung dapat mengurangkan isu mengenai kekurangan tenaga kerja di sektor penanaman koko di masa hadapan.

“Kementerian juga sentiasa mendukung pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh LKM dalam memastikan industri koko berdaya saing serta lebih produktif sejajar dengan sasaran yang ditetapkan dalam Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN2030),” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×