JAKARTA: Seorang lelaki di Indonesia sanggup menikam rakannya sehingga mati hanya selepas bertengkar mengenai soalan ‘lapuk’ berkaitan isu ayam dan telur.
Polis berkata, suspek menikam Kadir Markus, 47, sebanyak 15 kali dengan sejenis keris dipanggil badik di sebuah kampung di daerah Tongkuno, Sulawesi Tenggara, 24 Julai lalu.
Kejadian itu tercetus selepas kedua-dua mereka bertengkar mengenai satu soalan lama, ‘yang mana datang dahulu, ayam atau telur’.
Polis mengesahkan kedua-dua lelaki terbabit berada di bawah pengaruh alkohol.
Ketua Unit Siasatan Jenayah daerah, La Ode Arsangka berkata, pelaku yang dikenali sebagai DR mengemukakan soalan paradoks kepada mangsa.
Kedua-dua mereka sempat bertengkar sebelum mangsa bertindak meninggalkan pelaku.
Menurut polis, pelaku yang kecewa dan marah terhadap mangsa, kemudiannya bertindak agresif mengambil keris dan menikam rakannya.
Ketua Polis Daerah, Tongkuno Iptu Abdul Hasan mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan suspek kini ditahan.
“Suspek didakwa dengan tuduhan membunuh dan berdepan hukuman penjara sehingga 18 tahun jika didapati bersalah,” katanya.- THE STRAITS TIMES










