KUALA LUMPUR : Setiap laporan polis berkenaan orang hilang (OH) akan dinilai secara teliti sebelum sebarang tindakan diambil.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, ia berikutan jumlah aduan yang agak kerap diterima berkaitan OH namun apabila disiasat sebenarnya hanya salah faham antara keluarga atau kenalan.
“Sekarang keluar rumah tidak dapat dihubungi atau hilang kerana bergaduh dengan teman wanita, kena marah dengan emak.
“Sebab itu kita akan tengok dan nilai berdasarkan kes. Tetapi untuk menentukan OH terbabit selamat akan terima setiap laporan dan siasat,”katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Dang Wangi di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, orang ramai bagaimanapun tidak perlu menanti sehingga 24 jam sebelum membuat aduan berhubung kes OH.
Rusdi berkata, masa merupakan elemen paling penting bagi menyelesaikan kes membabitkan kehilangan orang.
“Mengambil contoh beberapa kes yang terjadi baru-baru ini membuktikan dalam masa singkat sahaja mangsa terbabit dilarikan jauh dari lokasi akhir mereka.
“Saya ada terima arahan daripada Ketua Polis Negara bila ada orang datang buat laporan kita kena terima kerana ‘masa’ itu elemen penting,” jelasnya.
Tambah beliau, bagi sesuatu kes secara ringkas tubuh badan boleh bertahan 24.
“Bila tubuh dah mula mereput akan menyukarkan siasatan.Itu satu.
“Yang kedua pengesanan itu kita perlu lakukan dengan pantas kerana bila ada kes hilang sekarang, tahu-tahu mangsa sudah sampai sempadan, ini contoh,” katanya.










