PUTRAJAYA: Rayuan akhir pendakwa raya terhadap pembebasan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette A. Samad daripada ketiga-tiga pertuduhan menerima rasuah RM2.8 juta berkaitan pelaburan Felcra Bhd, akan didengar pada 9 Oktober ini.
Mahkamah Rayuan menangguhkan prosiding yang sepatutnya berlangsung hari ini selepas peguam M. Athimulan yang mewakili Bung Moktar sedang bercuti sakit kerana mengalami masalah berkaitan jantung.
Peguam Datuk Seri K. Kumaraendran yang mewakili Zizie Izette memaklumkan bahawa Athimulan tidak sihat sejak 10 Julai lalu dan dimasukkan ke sebuah hospital di Tamil Nadu, India.
Ujarnya, peguam tersebut kemudian pulang ke tanah air minggu lalu dan dinasihatkan mendapatkan pemeriksaan lanjutan di Singapura kerana pernah menjalani rawatan di sana.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How berkata, meskipun tidak membantah penangguhan itu, pendakwaan bersedia jika mahkamah mahu meneruskan rayuan.
Beliau yang hadir bersama-sama Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fadly Mohd. Zamry turut memaklumkan, pihak pendakwaan telah memfailkan semua penghujahan bertulis berkaitan rayuan tersebut.
Sementara itu, panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim yang bersidang bersama-sama Datuk Hashim Hamzah dan Mohamed Zaini Mazlan mahukan agar rayuan itu didengar lebih awal.
Hakim Ahmad Zaidi berpendirian, tarikh pada November yang dicadangkan oleh kedua-dua pihak terlalu lama kerana perkembangan prosiding di Mahkamah Sesyen, bergantung kepada keputusan panel bersidang.
Ujar beliau, tarikh pendengaran yang terlalu lama akan menyebabkan prosiding di Mahkamah Sesyen berada dalam keadaan `terawang-awang’ tanpa mengetahui kesudahannya.
Ahli Parlimen Kinabatangan itu dan isterinya dibebaskan pada 7 September 2023 setelah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan semakan mereka.
Kedua-duanya memohon menyemak keputusan Mahkamah Sesyen pada 2 September 2022 yang memerintahkan pasangan tersebut membela diri terhadap ketiga-tiga pertuduhan.
Bung Moktar, yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra, didakwa pada 3 Mei 2019 atas dua pertuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan agensi berkenaan supaya melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Beliau didakwa menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad Madhi Abdul Hamid melalui Zizie Izette di Public Bank Cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang pada 12 Jun 2015.
Bung Moktar turut didakwa menerima wang tunai RM337,500 daripada perunding Unit Amanah Norhaili Ahmad Mokhtar atas nama Zizie Izette untuk sebab dan tempat sama pada 19 Jun 2015 manakala isterinya didakwa bersubahat dengan beliau melakukan perbuatan itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.











