Seramai 19 pelajar dimasukkan ke hospital terjejas air kolam Arena Larkin? - Utusan Malaysia

Seramai 19 pelajar dimasukkan ke hospital terjejas air kolam Arena Larkin?

ONN HAFIZ Ghazi melihat keadaan kolam renang di Pusat Akuatik MBJB Arena Larkin, Larkin yang kotor dan berkarat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seramai 19 pelajar yang mengambil bahagian dalam Kejohanan Akuatik Majlis Sukan Sekolah Johor (MSSJ) 2024 bermula Selasa hingga Khamis lalu dikejarkan ke hospital kerana mengalami pelbagai gejala kesihatan, termasuk muntah dan demam.

Selain itu, ada peserta yang mengalami gatal kulit,  dipercayai terkesan akibat air dalam kolam renang dan kolam terjun.

Susulan laporan yang diterima, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi membuat tinjauan mengejut ke Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) Arena Larkin yang menjadi venue kejohanan tersebut.

Onn Hafiz tampak terkejut dan berang apabila melihat keadaan kedua-dua kolam itu yang tidak dijaga dan diselenggara dengan baik.

“Kita dapat laporan, daripada 900 peserta mengambil bahagian dalam Kejohanan itu, seramai 19 pelajar telah dimasukkan ke hospital kerana mengalami gejala yang pelbagai.

“Pihak Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) telah mengambil sampel air di kedua-dua kolam dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dibuat penilaian sama ada ia memberi kesan langsung kepada pelajar terbabit. Sementera menunggu keputusan laporan kimia itu, pusat akuatik ini akan kita tutup sementara waktu,” katanya.

Tinjauan di lokasi mendapati lantai serta dinding kolam itu berwarna kuning, seakan-akan berkarat, manakala platform papan anjal pula kotor dan terdapat bangkai cicak.

Onn Hafiz menegaskan infrastruktur yang berkarat itu perlu diperbaiki secepat mungkin dan hanya akan dibuka semula kepada umum setelah dibaik pulih sepenuhnya kerana dikhuatiri menjejaskan kesihatan dan keselamatan pengunjung yang menggunakan fasiliti berkenaan.

“Saya doakan pelajar yang terkesan akan pulih dan sihat seperti biasa,” katanya sambil memaklumkan hanya seorang  pelajar yang masih menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×