PETALING JAYA: Seorang pemimpin bahagian Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menafikan dakwaan beliau ‘makan wang bantuan’ yang disalur kepada mangsa banjir di Penampang, Sabah, pada awal Julai lalu.
Ketua Pemuda UPKO Bahagian Penampang, Billy Joe Dominic berkata, beliau tiada kuasa untuk memegang wang peruntukan Parlimen Penampang atau wang wakil rakyatnya, Datuk Ewon Benedick jauh sekali membelanjakannya untuk tujuan peribadi.
Menurut beliau, kesemua bantuan kepada mangsa banjir diberi secara terus kepada mangsa dalam bentuk bakul makanan dan barangan asas, bukan dalam bentuk tunai.
“Saya tidak pegang wang tunai untuk bantuan mangsa banjir. Semua bantuan kepada mangsa banjir diberi terus kepada mangsa. Tidak ada bantuan tunai. Semua dalam bentuk bakul makanan, tong dan dapur gas, tilam dan pelbagai lagi.
“Saya hanya bantu hantar bantuan dan menyelaraskan bersama dengan pejabat daerah JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung) dan pejabat parlimen mana-mana yang belum dapat bantuan dan yang memerlukan.
“Saya tidak perlu makan duit siapa-siapa untuk beli makan dan minum saya. Saya fikir saya tidak perlu jelaskan kepada sesiapa apa saya buat dengan duit saya sendiri,” katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau berkata demikian susulan terdapat dakwaan pengguna akaun Facebook yang menuduh Billy ‘makan’ wang mangsa banjir. Billy juga menyertakan cetakan skrin pada komen berkenaan.
Pada 1 Julai lalu, Ewon yang merupakan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi menyampaikan sumbangan segera RM20,000 kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) susulan banjir yang melanda daerah itu bulan lalu.
Ewon dalam satu kenyataan berkata, sumbangan itu bertujuan membiayai operasi menyelamat mangsa banjir dan keperluan lain di pusat pemindahan sementara (PPS).
Bagaimanapun, tidak dapat disahkan jika wang RM20,000 adalah yang didakwa sebagai dibelanja oleh Billy.
Banjir melanda sebahagian besar kampung di kawasan rendah sekitar daerah itu akibat hujan lebat menyebabkan air Sungai Moyog melimpahi tebing. – UTUSAN











