PETALING JAYA: SME Bank melantik Datuk Dr. Mohammad Hardee Ibrahim sebagai Pemangku Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan bermula pada 3 September 2024.
Pelantikan itu dibuat bagi menggantikan Datuk Dr. Aria Putera Ismail yang akan meninggalkan organisasi itu setelah tamat tempoh perkhidmatannya untuk mengejar peluang baharu.
Menurut kenyataannya, Mohammad Hardee yang kini memegang jawatan Ketua Pegawai Strategi Korporat Kumpulan mempunyai lebih dari 20 tahun pengalaman dalam industri perkhidmatan kewangan, dengan kepakaran dalam perbankan perniagaan dan pengurusan strategik.
Beliau telah berkhidmat dengan SME Bank dalam pelbagai portfolio termasuk perbendaharaan, kewangan korporat, perbankan perniagaan dan yang terkini strategi korporat.
Mengulas mengenai sumbangan Aria Putera, SME Bank berkata, sepanjang enam tahun kepimpinannya, beliau telah membuka laluan kepada SME Bank untuk memenuhi mandat dalam menyokong dan membangunkan perusahan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia.
Katanya, ini bermula dengan mentakrifkan semula visi, misi dan memperkenalkan nilai teras S.M.I.L.E.
“Pada tahun 2019, beliau memperkenalkan Pelan Percepatan Dua Tahun, satu pelan strategik untuk merombak perniagaan bank yang mengandungi 27 inisiatif.
“Ia memfokuskan pada matlamat pembangunan lestari, kualiti aset, ekosistem PKS yang komprehensif, pendigitalan serta pembangunan bakat dan mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM213.9 juta pada 2019,” katanya.
Sehubungan dengan itu, SME Bank telah menunjukkan peningkatan yang luar biasa dalam kualiti aset dan pertumbuhan pembiayaan sepanjang tempoh perkhidmatan beliau.
“Jumlah pembiayaan kasar bank mencatatkan pertumbuhan 37.6 peratus daripada RM6.47 bilion pada 2018 kepada RM8.9 bilion pada akhir 2023, manakala kadar kemerosotan kasar berkurangan kepada 12.5 peratus daripada 22.9 peratus.
“Pada kemuncak pandemik Covid-19 global, beliau telah melancarkan pelbagai program bantuan pada Oktober 2020 hingga September 2022 untuk menyokong PKS dan perusahaan mikro dalam pelbagai industri yang memberi manfaat kepada lebih 5000 syarikat dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM9.12 bilion,” jelasnya.-UTUSAN










