SEDIH berbaur risau lagi bila satu persatu pemikir kita yang hebat-hebat sudah meninggalkan alam fana ini.
Bukan kaleng-kaleng buah fikiran daripada para arwah yang pernah menggamit rasa kagum dan penghormatan kita kepada mereka. Sehinggakan banyak ketika idea-idea dan rumusan mereka dijadikan dasar dan polisi negara.
Antara pemikir yang pernah disinggahi saya dari siri pertemuan bersemuka masa lalu – sekadar menyebut beberapa nama – seperti arwah-arwah Tun Ghazali Shafie, Ungku Aziz,
Awang Had Salleh, Rustam A Sani dan Tun Arshad Ayub. Itu belum lagi pemikir yang masih ada, yang tidak berapa ramai.
Ada banyak bezanya antara pemikir dengan ‘pendebat’ – yang lebih mencari alasan untuk merasionalkan sesuatu isu dan hujah. Seorang pemikir nampak apa yang berlaku di depan. Kalau putih, diperjelaskan kenapa dia nampak benda itu putih. `Pendebat’ biasanya mencari apa sahaja sebab untuk memenangkan pendapatnya.
Lenyapnya pemikir atau hanya tinggal beberapa kerat hari ini banyak dikaitkan dengan soal favouritisme, ketrampilan dan penonjolan dirinya. Waima dia intelek dan profesional daripada lapangan manapun semua ini lebih berkisar soal `terhutang budi’, bukannya mengenang budi.
RETORIK MENGAMPU
Soal-soal integriti, isian jati diri tanpa retorik mengampu perlu ada pada mana-mana intelek atau kepimpinan berkuasa di peringkat menara gading. Dia perlu berani menyanggah perkara tidak baik dan tidak benar di mata masyarakat.
Tidak boleh lari dari tanggungjawab asas seorang pemikir, intelek. Lebih molek lagi jika pengamal politik, budayawan, pengamal undang-undang dan bekas anggota kerajaan kombinasikan pengalaman diri untuk menjadi pemikir yang tulus dan berani.
Dan tampak berkesan dan menyerlah apabila mengemukakan kritikan dan penyelesaian isu-isu ekonomi, pendidikan atau penyelewengan yang menggugat anak bangsa. Isu-isu ini kebiasaannya akan dikeliru dan dimanipulasikan oleh pihak tertentu. Jika dapat dikekang pihak yang cuba menangguk di air keruh ini, hasil penyelesaiannya pasti bermanfaat untuk kebaikan rakyat bersama.
Cuma akhirnya keberaniannya menjadi pemikir bergantung soal pokok – sama ada mengenang budi atau `terhutang budi’. Jika ‘terhutang budi’ menjadi amalan seorang pemikir, akhirnya yang muncul hanya kebatilan.
Benar! Bercakap atas kertas atau menerusi kolum ini memang mudah. Untuk menjadi lurus macam pembaris perlukan asuhan diri, tidak angkuh, rela dikritik dan tidak mudah mengaku kalah. Sifat-sifat ini mudah disebut tetapi sukar dilaksanakan.
Tetapi untuk negara ini melangkah jauh dalam dunia serba-serbi amat mencabar hari ini, itulah sahaja jalannya. Kalau cara kendalian dan menguruskan hal ehwal kepentingan masyarakat cacamarba oleh kerana diuruskan oleh yang bukan ahlinya, tampil lah orang dari luar sekali pun, jika itu bukan ubat mujarab yang sebenar, takkan berhasil.
Dengan hentakan cabaran semasa berkaitan isu ekonomi dan sosial berserta teknologi kecergasan buatan (AI), kita perlukan barisan pemikir yang bercakap benar. Malah sehingga tahu dan sedar untuk bezakan mana satu rasuah, hadiah, anugerah atau rezeki.
Bahkan, yang tidak sesekali sembunyikan kebenaran semasa dalam perjawatannya. Bukan juga yang konon segalanya wallahi wabilahi watallahi sebaik sahaja melepaskan jawatan. Berapa ramai wajah sebegini rupa? Tambah lagi kalau dalam politik – yang biasanya `kebenaran’ disampaikan oleh bekas-bekas pesara kerajaan di pentas ceramah kempen ini sudah terlewat. Dibalas akhirnya dengan penolakan dirinya di kertas undi.
Sebab itu pemimpin-pemimpin Islam dimestikan melantik penasihat dalam kalangan mereka yang jujur dan tidak menyembunyikan kebenaran iaitu memberikan berita-berita berasaskan denyut nadi umat. Penasihat yang jujur, sanggup menerima risiko untuk menyampaikan nasihat baik kerana “yang pahit itulah” nurani sebenar rakyat.
Suatu hari, terjadi dialog antara Syaiban al-Ra’i dengan Khalifah Harun al-Rasyid. Ketika itu, Khalifah bercadang untuk mencari dan melantik beberapa orang penasihat ba
gi membantunya menguruskan pentadbiran wilayah kekuasaan Islam. Syaiban berkata:“Wahai Amir al-Mukminin, andainya engkau bersahabat dengan orang yang menjadikan engkau rasa takut sehingga engkau berasa aman lebih baik daripada engkau bersahabat dengan orang yang menjadi engkau rasa aman sehingga menyebabkan engkau mendapat ketakutan.”
Tanya Harun al-Rasyid: “Jelaskan maksudnya untukku.” Jawab Syaiban: “Sesiapa yang berkata kepada engkau: “Engkau bertanggungjawab terhadap rakyatmu, takutlah Allah” lebih baik daripada orang yang berkata, “Kamu kaum keluarga Nabi diampunkan dosa kamu, kamulah kerabat Nabi!” (Ibn Muflih, Al-Adab al-Syar’iyyah, 1/198).
KEBOBROKAN
Kes kejatuhan Soeharto sebagai Presiden Indonesia pada 1998 antaranya angkara penasihat dan pembodek kelas wahid. Sejak 1992 lagi, Soeharto sebenarnya menyatakan keinginan untuk meletak jawatan sebagai presiden.
Akan tetapi atas nasihat dan masukan yang menyesatkan daripada para penasihatnya yang memupunyai kepentingan terselubung, Soeharto tetap bersedia dilantik semula sebagai presiden bagi penggal ketujuh pada pemilihan presiden pada 1997.
Walhal, Soeharto menyedari dirinya terlalu lama memerintah dan ramai rakyat yang mula muak dengan pemerintahannya. Beliau pernah menyatakan secara terbuka dalam bahasa Jawa ‘masio ora dadi presiden, ora patheken’ (meskipun saya tidak jadi presiden, saya tidak peduli). Namun, disebabkan masukan penasihatnya bahawa rakyat Indonesia tidak bersedia dan tiada yang mampu memimpin negara, Soeharto akhirnya bersedia dipilih semula.
Akhirnya, beliau jatuh dengan keadaan yang tidak terhormat berikutan demonstrasi besar-besaran oleh mahasiswa dan seluruh komponen rakyat yang marah atas amalan rasuah dan nepotisme yang bermaharajalela di republik itu.
Benar! Aral melintang cukup besar untuk seorang pemikir yang tulus mahu membela nasib bangsa dan umatnya. Yang kita cukup bimbangi nanti tiada lagi kepercayaan orang muda generasi 90an dan 2000 terhadap politik negara.
Kesan sistem kebobrokan dalam lima tahun kebelakang ini mengajar mereka akan tiada lagi pemimpin orator. Tiada lagi cerdik pandai. Tiada lagi agamawan yang ikhlas di pentas. Tiada lagi pemimpin sejati. Tiada lagi apa-apa. Yang tinggal hanya pemimpin yang kurang serba serbi. Tidak ada keazaman politik oleh parti-parti Melayu untuk satukan bangsanya. Semuanya `cakap besar’ mengejar jawatan, pangkat dan kuasa.
Beginikah agaknya kita rakyat Malaysia menilai percaturan orang politik? Sebab itu ada kalangan mereka digelar `politikus’ – kerana meletakkan rakyat dalam keadaan `gajah sama gajah bertempur, pelanduk mati di tengah-tengah’.
Kita mahu pemikir macam pembaris – tidak ambil sesuatu yang bukan haknya. Yang tidak berpaksikan Machiavelli? Tepuk dada tanya selera. – MINGGUAN MALAYSIA










