PADANG BESAR: Polis merampas 358 karton rokok pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM94,512 menerusi Op Taring Wawasan Kedah/Perlis di sempadan Malaysia-Thailand, semalam.
Menerusi operasi sekitar pukul 7.15 pagi itu, sepasukan anggota Padukan Gerakan Am (PGA) Batalion 18 Pengkalan Hulu Perak membuat pemeriksaan hasil daripada risikan ke atas sebuah kontena putih terbiar di Ladang Kenaf, Chuping, di sini.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata, hasil pemeriksaan tersebut, pihaknya menemukan terdapat tujuh bungkusan plastik hitam berada di dalam kontena berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut menemukan 358 karton rokok pelbagai jenama tidak bercukai dengan nilai anggaran keseluruhan berjumlah RM 94,512.
“Semua rokok yang dirampas itu didapati tidak memenuhi standard keselamatan dan kesihatan ditetapkan oleh kerajaan,” katanya di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Shokri berkata, antara jenama rokok yang dirampas menerusi operasi itu adalah seperti Fu Rong Wang (215 karton), Gun Binyan (83 karton) dan Shuang Xi (60 karton).
Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 di mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda maksimum 10 kali ganda daripada nilai rampasan atau RM100,000.
“Polis memberi amaran kepada mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan penyeludupan rokok tidak bercukai ini akan dikenakan tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.
Tambah beliau, Polis Padang Besar juga akan kekal fokus bagi menggiatkan usaha membanteras sebarang kegiatan penyudupan dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam kekal terpelihara. -UTUSAN










