IDEA penubuhan Jabatan Insolvensi bermula seawal 1924 apabila hal ehwal harta kebankrapan dikendalikan oleh seorang Pemegang Harta Pertama, ketika di zaman pentadbiran British Malaya di Tanah Melayu.
Perkara itu terjadi apabila Perang Dunia Pertama yang berakhir pada 1918 mengakibatkan kebanyakan negara dan empayar termasuk British terkesan dengan inflasi, pengangguran, kekurangan dana dan hutang yang tinggi.
Ini akhirnya membawa kepada kemelesetan ekonomi global pada 1929 yang melarat sehingga 10 tahun. Ia diburukkan lagi dengan meletusnya Perang Dunia Kedua pada September 1939.
Walaupun British kembali mentadbir Tanah Melayu selepas Perang Dunia Kedua berakhir pada September 1945, perang tersebut memberikan kesan yang besar kepada ekonomi empayar tersebut ketika itu.
Disebabkan itu, British membuat penstrukturan secara besar-besaran terhadap pentadbiran di Tanah Melayu, bermula dengan Malayan Union pada April 1946, sebelum digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu pada Februari 1948.
Setahun kemudian, Bankruptcy Office atau Pejabat Kebankrapan mula diperkenalkan bagi membantu penduduk Tanah Melayu pada 1949.
Selepas merdeka dan penubuhan Malaysia, kerajaan membuat beberapa perubahan dengan memperkenalkan Jabatan Muflis pada 1966 dan Akta Kebankrapan pada 1967 dengan menetapkan nilai ambang keberhutangan pada kadar RM2,000. Jabatan itu kemudian dijenamakan semula kepada Jabatan Kebankrapan Malaysia pada 1969, sebelum dikenali sebagai Jabatan Pemegang Harta pada 1974.
Pada 1992, amaun keberhutangan dinaikkan kepada RM10,000. Jabatan Pemegang Harta kemudian diletakkan di bawah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) di Jabatan Perdana Menteri pada Mei 1995.
Namun, perubahan paling besar apabila kerajaan membuat pindaan terhadap Akta Kebankrapan pada 2003 yang membawa kepada nama baharu iaitu Akta Insolvensi. Sehubungan itu, Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) diperkenalkan pada Oktober 2003 dan ketua jabatannya yang sebelum ini dikenali sebagai Pegawai Pemegang Harta kini digelar Ketua Pengarah Insolvensi. Malah, amaun keberhutangan dinaikkan kepada RM30,000. Amaun tersebut dinaikkan sekali lagi kepada RM50,000 pada 2017.
Jabatan Insolvensi yang kemudiannya dikenali sebagai Jabatan Insolvensi Malaysia mulai 2009 memainkan peranan penting ketika negara dilanda wabak Covid-19 pada 2020 apabila Akta Insolvensi dipinda dengan menaikkan amaun keberhutangan daripada RM50,000 kepada RM100,000 bagi mengelakkan lebih ramai yang jatuh bankrap secara tiba-tiba disebabkan keadaan luar jangka ketika itu.
Ia diperkasakan lagi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memperkenalkan Dasar Peluang Kedua ketika pembentangan Belanjawan 2024, tahun lalu.
Dasar ini diperluaskan kepada golongan bankrap bagi memberikan peluang untuk mereka kembali menyumbang kepada ekonomi negara dan menjalani kehidupan yang baharu.
la menyasarkan pelepasan seramai 130,000 orang yang diisytiharkan bankrap hingga tempoh masa satu tahun selepas Akta Insolvensi berkuat kuasa. Dasar ini bertujuan memastikan tiada golongan rakyat yang tercicir daripada arus pembangunan negara.
“Saya ingatkan bahawa individu ataupun syarikat yang telah diberikan peluang kedua selepas muflis atau bankrap, haruslah membuat proses susulan dan langkah seterusnya demi transisi kehidupan lebih baik,” kata Anwar ketika majlis perasmian Sambutan 100 Tahun MdI, baru-baru ini.
“Adalah penting bagi mereka supaya tidak mengulangi kesilapan lepas dan pada masa yang sama merebut peluang-peluang yang disediakan oleh kerajaan melalui rangkaian jabatan dan kementerian yang pelbagai.
“Sejumlah 142,510 pelepasan bankrap dicatatkan melalui inisiatif Dasar Peluang Kedua yang dilaksanakan kerajaan. Ini melebihi sasaran awal 130,000 kes hatta dasar ini merupakan salah satu inisiatif di bawah Prinsip Rukun Ihsan untuk membawa pelaksanaan undang-undang kepada rakyat yang memerlukan.
“Hasrat dan tanggungjawab kerajaan adalah untuk merangsang pertumbuhan ekonomi dan menjadikan Malaysia negara yang mampu berdaya saing dan maju kelak.”
Dasar Peluang Kedua tidak terhenti setakat pelepasan bankrap sahaja. Dasar ini turut menyasarkan pentadbiran insolvensi yang berkesan melalui pengurusan dan penghasilan harta insolvensi yang cekap dan berkesan termasuk harta melibatkan syarikat yang telah digulungkan.
Bagi tujuan itu, MdI telah mempertingkatkan jalinan kerjasama strategik dengan agensi kerajaan dan swasta khususnya dengan Persatuan Pengamal Insolvensi Malaysia (iPAM) dalam usaha memperkasakan pengurusan dan penghasilan harta insolvensi.
Pada masa akan datang, kerajaan akan menjalankan kajian kebolehlaksanaan bagi cadangan pemerbadanan Jabatan Insolvensi.
“Ini selaras dengan amalan terbaik global melalui perbandingan negara-negara lain dalam masa terdekat serta mengambil kira pandangan pakar insolvensi rentas sempadan, pakar dalam dan luar negara serta pandangan rakyat umum (public poll) dalam memastikan pentadbiran insolvensi yang lebih efisien,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
“Secara tidak langsung, usaha ini dapat menggalakkan pengaliran wang serta pertumbuhan ekonomi sekali gus menarik pelaburan kewangan dan perdagangan antarabangsa ke Malaysia. Ini merupakan satu lagi komitmen kerajaan dalam memastikan kesejahteraan kehidupan rakyat dan pada masa yang sama memacu pertumbuhan ekonomi negara ke arah menjadikan Malaysia negara maju berpendapatan tinggi.”-UTUSAN
PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.










