206 pelumba berentap Kejohanan Kuda Lasak Piala Yang Di-Pertuan Muda Terengganu - Utusan Malaysia

206 pelumba berentap Kejohanan Kuda Lasak Piala Yang Di-Pertuan Muda Terengganu

AHMAD NAQID ABU BAKAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIU: Lebih 206 pelumba akan berentap pada Kejohanan Kuda Lasak Piala Yang Di-Pertuan Muda Terengganu di Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP) Lembah Bidong bermula, hari ini.

Pengarah kejohanan, Dr. Ahmad Naqib Abu Bakar berkata, selain pelumba tempatan turut mengesahkan penyertaan adalah pelumba dari Belarus, China, Thailand, Singapura dan Indonesia.

Selain itu, menurutnya, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin juga berkenan mencemar duli dan akan mewakili kelab Royal Terengganu Endurance Stable (RTES) pada kejohanan kali ini.

Katanya, Piala Yang Di-Pertuan Muda Terengganu menawarkan kategori baharu CEI 120 kilometer (km) iaitu acara utama selain kategori CEI 100km, CEN 80km dan CEN 40km.

“Kategori CEI 120km merupakan usaha menaik taraf status kejohanan bagi menawarkan pungutan mata kepada pelumba untuk menyertai pertandingan yang diiktiraf badan induk dunia (FEI).

“Kategori itu dijangka sengit dan memberi cabaran tersendiri kepada pelumba yang perlu menempuh perlumbaan di laluan sekitar TIEP hampir 12 jam tanpa henti dan perlu dihabiskan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau menambah, prestij kejuaraan ini memberi merit atau kelayakkan sama ada buat pelumba mahupun kuda untuk bertanding ke peringkat yang lebih tinggi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN