Otak ikan lumba-lumba ada kimia toksik - Utusan Malaysia

Otak ikan lumba-lumba ada kimia toksik

KUMPULAN saintis menemukan bahan kimia dalam otak ikan lumba-lumba. - Foto AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HONG KONG: Kumpulan saintis mengeluarkan amaran keras selepas bahan kimia toksik daripada telefon pintar ditemukan dalam otak lumba-lumba sehingga mencetuskan kebimbangan mengenai tahap pencemaran sisa elektronik (e-sisa) dunia.

Penyelidikan yang diterbitkan dalam jurnal Environmental Science & Technology itu mendedahkan kepekatan tinggi monomer cecair kristal (LCM) dikesan pada mamalia marin yang terancam, termasuk ikan lumba-lumba humpback.  Ia turut ditemukan pada ikan lumba-lumba tanpa sirip.

Selain otak, kesan bahan kimia sintetik itu turut ditemui dalam lapisan lemak dan otot haiwan berkenaan.

Ia berlaku selepas mamalia tersebut memakan ikan lain yang terlebih dahulu menelan sisa pencemaran itu.

Kehadiran bahan ini dalam sistem tubuh haiwan marin berisiko mengakibatkan penyakit maut seperti kanser.

Penyelidik dari City University of Hong Kong, Profesor Yuhe He menyifatkan penemuan ini sebagai satu amaran besar kepada dunia.

“Penyelidikan kami mendedahkan bahawa LCM daripada peranti elektronik harian bukan sekadar pencemaran biasa, tetapi ia sedang terkumpul dalam otak ikan lumba-lumba yang kian pupus.

“Bahan kimia yang menghidupkan peranti kita kini menyusup ke dalam kehidupan marin. Kita mesti bertindak segera menangani isu e-sisa bagi melindungi kesihatan lautan dan akhirnya, diri kita sendiri,” katanya.

Walaupun kebanyakan penggunaan LCM telah dikurangkan dalam pembuatan elektronik rumah sejak sedekad lalu, pakar-pakar memberi amaran bahawa jumlah teknologi lama yang masih dalam edaran atau berada di tapak pelupusan sampah adalah sangat besar.

Bahan kimia ini dilaporkan meresap ke dalam laluan air daripada tapak pelupusan sampah haram dan kawasan pembuangan e-sisa tidak rasmi di seluruh dunia, sehingga mencetuskan isu pencemaran legasi yang berpanjangan.

Aktivis alam sekitar telah lama memberi amaran bahawa mamalia laut kini hidup dalam ‘sup toksik’ yang terdiri daripada bahan kimia kekal yang sukar terurai dan semakin terkumpul mengikut rantaian makanan.

Ketua Pencemaran Pemuliharaan Ikan Paus dan Lumba-Lumba (WDC), Sonja Eisfeld Pierantonio berkata, penemuan itu sangat membimbangkan.

“Ini menunjukkan kita sedang menyaksikan kemunculan satu lagi bahan pencemar bio-akumulatif yang memasuki jaringan makanan marin secara senyap,” tegasnya. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN